2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

SUSULAN BANJIR DI JAKARTA, PENDUDUK SERANG PUSAT BELI-BELAH

JAKARTA, 26 Feb – Kejadian banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu kota Indonesia, Jakarta sejak semalam mencetuskan kemarahan penduduk.

Ratusan penduduk yang berang apabila kawasan tempat tinggal mereka kerap digenangi air bertindak merusuh dan menyerang sebuah pusat beli-belah terkemuka berhampiran Jakarta Garden City di Cakung, Jakarta Timur semalam.

Mereka menuduh kewujudan pusat-beli belah itu sebagai penyebab banjir di kawasan tersebut.

Semasa rusuhan, beberapa penduduk bertindak ganas dengan membaling batu sehingga menyebabkan dinding kaca di dua premis dalam pusat beli-belah itu pecah.

Penduduk turut membawa batang buluh dan merosakkan pagar di kawasan parkir.

Ketua Polis Cakung, Pandji Santoso berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira jam 10 pagi sejurus keadaan banjir surut.

“Penduduk berhimpun di pusat beli-belah itu untuk menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan.

“Mereka mendakwa tanah dan sisa binaan tidak dibuang menyebabkan parit tersumbat sehingga berlakunya banjir padahal banjir juga terjadi di kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, susulan itu polis dikerah ke pusat beli-belah itu untuk mengawal keadaan.

“Keadaan sudah kembali tenang dan penduduk bersurai selepas bertemu dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan memaklumkan lebih 200 buah rumah penduduk ditenggelami air berpunca daripada taburan hujan yang tinggi.

Kejadian banjir menyebabkan beberapa jalan raya di Jakarta, termasuk beberapa laluan memasuki lebuh raya ke Bekasi dan Tengerang tidak dapat dilalui kenderaan berikutan dinaiki air sehingga 1 meter.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api juga dilaporkan terjejas berikutan laluan perkhidmatan itu ditenggelami air. 

Sumber: Sinar Harian