2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info Semasa

Soroton Suka Duka Palestina 2018

SOROTAN SUKA DUKA PALESTINA 2018

Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar bin Raja Yaacob

Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya. Namun, segala yang berlaku di Palestin sepanjang 2018 menjadi satu lipatan sejarah yang tidak akan dilupakan segenap dunia. Tahun yang penuh pancaroba buat rakyat Palestin ini merakam pelbagai dugaan dan rintangan terpaksa dilalui oleh rakyat Palestin. Mereka terus-menerus dihimpit kesulitan hidup dek kerana pencerohan Israel terhadap tanah air mereka sejak 70 tahun yang lalu.

Dunia menyaksikan pelbagai penderitaan penduduk Palestin. Mereka menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang pertama walaupun wujudnya Deklasi Hak Asasi Manusia yang disepakati serta menjadi sebahagian dari Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tetapi ia seolah-olah tiada kesan dan hanya terpampar di atas kertas semata-mata.

Tahun 2018 juga bertambah muram buat rakyat Palestin kerana bilangan kematian sentiasa meningkat. Dari angka sa hingga ke angka ratus jumlah kematian penduduk. Kematian yang berlaku rata-ratanya akibat serangan dan bedilan dari tentera Israel.

Jika diimbau kembali, kemuncak insiden terburuk di Palestin tercetus sejak Mac lalu, yang mana bantahan secara berterusan dijalankan oleh rakyat Palestin.Bantahan yang dikenali sebagai ‘Great March of Return’. Perarakan ini berlangsung bagi menghentikan kepungan rejim Israel di wilayah bergolak itu dan ini juga merupakan satu perjuangan buat rakyat Palestin

Dalam demonstrasi besar-besaran itu, tidak dinafikan banyak nyawa terkorban kerana tindak tanduk penduduk Palestin yang bersuara sepanjang jalan itu dibenci Israel. Israel tidak berasa aman dengan apa yang dilakukan penduduk Palestin tersebut.

Oleh sebab itu, serangan daripada pelbagai arah telah dilancarkan Israel. Kediaman-kediaman awam, bangunan-bangunan, tanaman-tanaman penduduk Palestin dan kawasan sasaran utama seperti pangkalan pejuang-pejuang Gerakan Pembela Islam (Hamas) dimusnahkan. Sungguh dasyat!

Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan seramai 220 penduduk terbunuh manakala kira-kira 20,000 orang lagi dilaporkan cedera.

Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OCHA) pula menyatakan pada tahun 2018, secara puratanya, lima serangan dilancarkan setiap minggu berbanding dua tahun kebelakangan ini. Ini bermakna hampir 260 serangan yang telah dilancarkan pada tahun 2018! Angka yang sangat mengerikan!

Dalam serangan sebanyak itu, 33 buah bangunan turut musnah dan juga dirampas pihak Israel. Manakala, perkhidmatan kesihatan di Gaza juga menjadi serba kekurangan. Peralatan perubatan dan ambulans untuk membawa pesakit tercedera tidak dapat digunakan sepenuhnya disamping tiada kelengkapan khusus untuk merawat mangsa. Akhirnya mangsa terpaksa menahan segala kesakitan yang melanda.

Dalam masa yang sama, sebanyak 211 rekod serangan terhadap pekerja kesihatan di Gaza turut dilaporkan.

Tidak habis dengan itu, peperangan yang berlaku sepanjang 2018 di Palestin ini mengakibatkan standard kehidupan penduduk di sana semakin rendah.

Penduduk awam dibelenggu dengan masalah kemiskinan dan tiada peluang pekerjaan untuk mereka. Mereka terpaksa mendapatkan belas ihsan daripada komuniti dunia untuk mendapatkan makanan dan minuman, namun ia amat terhad ekoran sekatan demi sekatan dijalankan Israel bagi menghalang bantuan tersebut sampai sepenuhnya kepada mereka yang memerlukan.

Rakyat Palestin juga terpaksa berteduh dan lena di bawah khemah-khemah dan kem pelarian yang serba kekurangan. Sumber air yang belum tentu selamat untuk diminum terpaksa digunakan mereka demi meneruskan kehidupan mereka.

Bukan hanya orang dewasa terpaksa melalui semua keperitan hidup sedemikian, malah yang lebih menyedihkan kanak-kanak yang baru mengenal dunia turut menjadi mangsa korban serangan Israel. Tamsilnya, kes kematian bayi berusia lapan bulan yang terkorban dalam serangan selepas anak kecil tersebut terhidu gas pemedih mata yang dilancarkan rejim Zionis.

Kanak-kanak bawah 10 tahun pula tiada masa untuk berasa gempita meraikan dunia kecil mereka kerana kehidupan mereka setiap hari perlu berhadapan dengan rasa jerih dan linangan air mata. Mereka seringkali meratapi kesedihan melihat permergian ibu bapa mereka yang menjadi korban serangan bertubi-tubi dari Israel.

Ada diantara mereka juga seolah-olah tidak merasa gerun dengan bedilan dan bom yang dilontar Israel kerana mereka sudah terbiasa dnegan kehidupan mereka sedemikian rupa.

Sesetengah pula sanggup menahan sakit selepas kehilangan anggota badan akibat percikan bedilan dan bom tentera Israel.

Tidak habis dengan itu, nasib golongan warga emas yang lingkungan umur 60 tahun ke atas terpaksa diabaikan kerana tiada akses penjagaan kesihatan sepenuhnya akibat kekurangan dana. Kebanyakan mereka terpaksa dibiarkan menghabiskan sisa hidup mereka kerana kekurangan pakar perubatan untuk merawat mereka yang mempunyai penyakit kronik seperi kanser. Nisbah seorang kakitangan perubatan dan 14 orang pesakit dalam masa satu jam telah menghadkan rawatan tersebut.

Sangat menyedihkan!

Bukan itu sahaja, dalam Ramadhan yang lalu, Israel langsung tidak menghormati umat Islam yang sedang berpuasa. Serangan demi serangan dilancarkan waima ada pihak menekankan gencatan senjata pada masa tersebut. Serangan dari udara terhadap Pangkalan Gerakan Pembela Islam (Hamas) turut dilakukan!

Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan Israel sentiasa menuduh Hamas yang kononya menggunakan kontroversi majlis pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis sebagai alasan untuk mengadakan keganasan di Palestin walhal tindakan mereka perlu diperhalusi terlebih dahulu. Israel dan sukutunya dilihat langsung tidak mampu melihat tindakan kejam mereka tetapi berterusan menyalahkan pihak lain walau dalam apa jua keadaan.

Tidak aman dengan itu, Amerika Syarikat sekali lagi dilihat terus mencetuskan provokasi dan kemarahan rakyat Palestin dengan membuka kedutaannya di Jerusalem pada tarikh yang sama dengan sambutan Hari Nakbah, yang mana ia merupakan ‘hari kecelakaan’ bagi rakyat Palestin. Hari Nakbah yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dianggap detik hitam bagi rakyat Palestin kerana terpaksa menerima kemasukan penjajahan Israel di tanah Palestin.

Amerika Syarikat dilihat terus berasa bangga tindakan mereka, walaupun ia dianggap seperti menyimbah garam ke atas luka rakyat Palestin.

Kekejaman Israel tidak terhenti di kawasan taklukan mereka sahaja kerana sebelumnya, salah seorang pejuang Hamas yang berada di Malaysia, Dr. Fadi M R Albatsh Fatma turut terkorban. Dr. Fadi yang merupakan seorang salah seorang pensyarah kejuruteraan di Universiti Kuala Lumpur British Malaysia Institute (UniKL BMI) dan beliau didakwa dibunuh oleh agen upahan iaitu Mossad (Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel). Kematian Dr. Fadi ketika itu menjadi bualan hangat kerana didakwa sekutu Israel menjejaki beliau sehingga ke Malaysia! Kematian Dr. Fadi dianggap syahid segenap umat kerana ditembak dari jarak sewaktu ingin ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Selepas insiden yang berlaku terhadap Dr. Fadi, rakan beliau di Palestin yang juga seorang pejuang Hamas turut terkorban selepas sebuah kereta kebal Tentera Pertahanan Israel (IDF) menembak pos kawalan tentera pejuang tersebut. Tidak lama itu, kira-kira 10 orang lagi termasuk penduduk Gaza dan pejuang Briged al-Qassam turut terkorban selepas Israel melepaskan kira-kira 300 roket ke arah Gaza.

Subhanallah!

Selain insiden yang menyayat hati itu, Amerika Syarikat (AS) turut bertindak menghentikan pemberian dana kepada agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk kira-kira 700,000 Pelarian Palestin (UNRWA) kerana tidak mahu pelarian itu hidup dengan aman. Pelarian yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada mangsa yang terlibat dalam perang dunia pada tahun 1948 yang mana perang tersebut hasil rancangan kotor Yahudi dan sekutunya yang akhirnya membawa kepada penubuhan ibu kota Israel di Baitulmuqaddis.

Susulan tindakan Amerika Syarikat itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pihak Berkuasa Palestin telah melancarkan rayuan dana sebanyak AS$350 juta (RM1.45 billion) untuk membantu penduduk Palestin pada tahun hadapan bagi menampung kos keperluan harian penduduk Palestin pada tahun 2019 akan datang. Diharap ia berjaya. Insha-Allah.

Penderitaan rakyat Palestin terus dirakam. Tahun 2018 teurs memperlihatkan kekejaman Israel. Kali ini terhadap kanak-kanak sekolah yang sedang belajar.

Rejim tersebut telah melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah pelajar di sebuah sekolah tinggi di bandar Tuqu’, Tengah Tebing Barat. Rejim itu juga memaksa kesemua kakitangan sekolah serta pelajar keluar mengosongkan premis yang menempatkan puluhan pelajar. Pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia terus dilakukan rejim Zionis tanpa belas kasihan.

Hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan terus dilenyapkan rejim Zionis ini. Mereka tanpa segan silu mengaku bangunan yang digunakan kanak-kanak tersebut adalah hak mereka walaupun ia dianggap dunia sesuatu yang menjengkelkan malah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri sering mengingatkan rejim tersebut bahawa penduduk Palestin dibenarkan hidup aman di tanah air mereka. Namun, mereka langsung tidak menghiraukan.

Selepas Amerika Syarikat mencurahkan garam ke luka rakyat Palestin, tindakan serupa bakal diikuti oleh Australia yang mana mereka berhasrat memindakan kedutaan mereka ke Baitul Maqdis, sama seperti yang dilakukan Amerika Syarikat. Oktober lalu, bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot menggesa Canberra untuk memindahkan kedutaanya ke Baitul Maqdis namun ia dilihat satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. Tindakan tidak matang itu sengaja dilakukan bagi meningkatkan ketegangan dalam kalangan rakyat Palestin.

Jika dilihat kembali, setiap tindakan yang dilakukan Israel dikecam dunia. Pelbagai saranan daripada banyak negara untuk menghentikan krisis kemanusiaan di Palestin ini. Namun, sehingga saat ini dilihat masih belum ada kuasa veto selain Amerika Syarikat yang berani bekerjasama untuk menghentikan pertelagahan di sana. PBB sendiri belum mampu membawa keamanan kepada bumi anbiya’ itu walaupun peranan badan tersebut memakmurkan negara yang bertelagah.

Susulan daripada itu, sebahagian rakyat Palestin terpaksa keluar mencari damai di negara yang lain.

Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), menyatakan pada akhir Julai 2017, seramai 698 orang pelarian dari Palestin berada di Malaysia. Humanitarian Relief for Development Society pula menganggarkan seramai juta penduduk Palestin menjadi pelarian di negara berhampiran Palestin seperti Lubnan.

Rakyat Palestin terpaksa meneruskan kehidupan yang sukar di negara orang.

Dalam menangani krisis kemanusiaan di Palestin ini, banyak pihak telah menyuarakan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis itu. Perdana Menteri Malaysia sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengutuk kekejaman rejim itu terhadap penduduk Palestin.  Beliau juga turut menyatakan pemindahan yang dilakukan Amerika Syarikat dan Australia langsung tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di negara tersebut.

Persoalannya di sini, sampai bilakah situasi ini akan terus berlaku? Mampukah Amerika Syarikat dan Israel menjadi ‘polis dunia’ di Palestin? Akan berlakukah anjakan paradigma terhadap isu yang memakan puluhan tahun ini?

Intihanya, semua persoalan bakal terjawab jika Amerika sendiri tidak mampu menepis cabaran ekonomi yang dianggap buruk ketika ini.

Jika dilihat data dunia pada Jun lalu, Amerika Syarikat telah mengungguli senarai negara yang mempunyai jumlah hutang paling tinggi di dunia selepas United Kingdom dan Perancis. Jumlah hutang Amerika Syarikat meningkat secara mendadak sejak 2007 daripada 62% kepada 108% iaitu merangkumi jumlah hutang sebanyak 21.2 Trillion USD. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil negara ini akan terkebelakang dan bakal memberikan tekanan buat Amerika Syarikat sendiri yang mana mereka dilihat dunia sebelum menjadi penyokong kuat puak Israel.

Sekali gus, ia akan memberikan satu bentuk tekanan buat Israel sendiri kerana kehilangan sokongan kuat untuk membantu mereka dalam ‘jenayah’ antarabangsa seperti sebelum ini.

Dalam sudut lain, kini dunia melihat Turki yang diterajui Recep Tayyip Erdogan begitu terkehadapan dalam membawa isu-sisu kemanusiaan dan agama. Pemimpin Turki juga dilihat menjadi sanjungan ramai masyarakat dunia kerana berani membawa keamanan dan turut membawa negaranya ke arah yang lebih baik. Beliau mampu membawa negaranya mencapai kedudukan ke-16 dalam pencapaian ekonomi di dunia! Manakala dalam masa 10 tahun pemerintahan beliau, beliau mampu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya sedangkan ketika itu, Amerika Syarikat dan Eropah sendiri dilanda krisis ekonomi yang teruk. Beliau juga telah meningakatkan taraf hidup rakyatnya dengan pelbagai usaha bagi membantu kestabilan hidup semua rakyat di bawah pemerintahan beliau. Sangat memberangsangkan!

Malah Erdogan juga dianggap hebat buat segenap dunia kerana beliau tidak lokek dalam membantu pelarian dan isu kemanusiaan di seluruh negara seperti Myanmar, Yaman, Palestin dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, tidak mustahil negara Palestin bakal mengalami perubahan ke arah yang lebih baik kerana wujudnya pemimpin luar yang berhati waja dan berani mempertahankan isu hak asasi manusia daripada terus dizalimi Israel dan sekutunya. Insha-Allah.

Justeru, diharapkan tahun 2019 akan membawa 1001 kebaikan buat rakyat Palestin dan manusia sejagat!

[Orang ramai yang ingin membantu penduduk Palestin yang berada dalam serba kekurangan, boleh  layari http://untukmupalestin.com, Tabung Kemanusiaan Palestin Serantau Muslim, akaun Maybank, 5641 0042 3099].

Persaudaraan Rentas Sempadan’

*Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM
31 Disember 2018