2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

SERANGAN UDARA MUSNAHKAN HOSPITAL, KEM DI SYRIA

BEIRUT, 19 Feb – Serangan tentera kerajaan terhadap hospital dan kem pelarian di barat laut Syria mengakibatkan kira-kira 300 orang awam terbunuh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata tragedi itu berlaku ketika tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad, meningkatkan serangan terhadap kubu terakhir kumpulan pemberontak.

Difahamkan, agensi bantuan kemanusiaan tidak dapat menangani krisis pelarian yang berlaku kerana membabitkan hampir sejuta orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, yang cuba lari ke sempadan Turki dalam cuaca sejuk melampau.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet, berkata orang awam yang cuba menyelamatkan diri daripada pertempuran terpaksa bersesak dalam kawasan yang semakin mengecil.

“Mereka tiada tempat berlindung dan terus menghadapi risiko di bom kerana tiada lagi tempat untuk mereka pergi,” katanya.

Saksi berkata, pesawat perang Syria dan Russia meneruskan serangan di bandar Darat Izza di wilayah Aleppo semalam, selepas dua hospital musnah teruk akibat serangan.

Di Hospital Al Kinana, dinding yang runtuh dan lapisan debu menyelubungi peralatan perubatan dan bekalan berselerak manakala dua kakitangan dilaporkan cedera.

Ankara berkata hari kedua rundingan dengan Moscow ‘tidak memuaskan’ dan Turki akan menghantar lebih ramai tentera ke wilayah itu.

Setakat ini, tiada persetujuan dicapai berhubung Idlib dan dalam perkembangan terbaru, asakan tentera Syria dengan sokongan Russia mengorbankan beberapa pasukan tentera Turki.

Turki berkata ia tidak dapat menampung kemasukan terbaru pelarian menyertai 3.6 juta pelarian Syria yang sedia ada di sempadannya.

Assad, dalam siaran televisyen Isnin lalu, berkata serangan tentera dipertingkatkan bagi menumpaskan pemberontakan disertai pejuang disokong Turki dan militan tetapi menegaskan ia mungkin mengambil masa yang lama.

Jurucakap Hak Asasi Manusia PBB, Rupert Colville, berkata hakikat bahawa begitu banyak hospital dan sekolah musnah serta orang awam terkorban menunjukkan ia tidak berlaku secara kebetulan.

Beliau dalam taklimat di Geneva, menegaskan perbuatan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah perang dan pihaknya merekodkan 299 kematian orang awam sejak 1 Januari lalu, 93 peratus dilakukan regim Syria dan sekutunya.

Jurucakap PBB, David Swanson, berkata hampir 900,000 orang meninggalkan zon perang di Idlib dan barat Aleppo sejak Disember lalu, lebih 80 peratus daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

“Ramai yang tiada tempat berlindung dan tidur dalam cuaca sejuk melampau dengan membakar plastik untuk memanaskan diri selai terdedah kepada risiko penyakit.

“Hanya separuh daripada kemudahan kesihatan sedia ada di wilayah barat laut masih berfungsi sekarang,” katanya.

Badan kemanusiaan, Hurras Network, yang bekerjasama dengan Save the Children di Idlib, berkata tujuh kanak-kanak termasuk bayi berusia tujuh bulan, mati kesejukan dan terdapat kira-kira 525,000 kanak-kanak yang menjadi pelarian.

Sumber: Berita Harian