2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ROHINGYA: MALAYSIA MINTA NEGARA KETIGA, BANGLADESH TERIMA PELARIAN

KUALA LUMPUR – Malaysia akan berbincang dengan kerajaan Bangladesh supaya menerima etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara paksa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Luar berbincang dengan wakil kerajaan Bangladesh untuk penghantaran etnik Rohingya ke negara berkenaan yang ditempatkan di Pulau Bhasan, iaitu penempatan sementara pelarian berkenaan.

Katanya, kerajaan terpaksa bersikap tegas kali ini selepas beberapa cubaan masuk ke negara ini oleh etnik itu mendapat kecaman daripada beberapa negara lain.

“Kita juga akan berbincang dengan kerajaan Bangladesh untuk menghantar semua pelarian yang lari dari kem pelarian di Cox’s Bazar semula ke negara itu, selain menghantar ke negara ketiga.

“Kita juga sudah minta Kementerian Luar berbincang dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) supaya pelarian Rohingya ini dihantar ke negara ketiga, terutama negara yang banyak mengkritik cara kita mengendalikan pelarian itu.

“Negara ketiga itu juga adalah negara anggota yang menandatangani konvensyen mengenai pelarian. Jadi, dalam isu pelarian Rohingya ini mengapa serahkan hanya kepada kita. Kali ini kita tegas dan tidak terima lagi pelarian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya kelmarin.

Ismail Sabri turut menafikan Malaysia berlembut dalam soal pelarian Rohingya yang menceroboh perairan negara.

Katanya, tindakan yang diambil anggota keselamatan dan penguat kuasa di perairan negara dekat Pulau Langkawi kelmarin, atas sikap perikemanusiaan.

“Kita tidak membiarkan akan pelarian yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua lemas begitu saja di laut. Sebab itu anggota keselamatan menyelamatkan mereka atas peri kemanusian,” katanya.

“Kita tidak membiarkan akan pelarian yang terdiri daripada kanak-kanak dan orang tua lemas begitu saja di laut. Sebab itu anggota keselamatan menyelamatkan mereka atas dasar peri kemanusian,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bot yang membawa pelarian itu dikesan di perairan negara dengan sengaja dibocorkan, krew merosakkan enjin dan membiarkan air masuk dalam bot.

Katanya, sebahagian pelarian terjun ke laut, dan atas dasar kemanusiaan anggota keselamatan terpaksa menyelamatkan pelarian berkenaan.

“Anggota keselamatan kita tiada pilihan, sama ada membiarkan pelarian mati begitu saja di laut atau menyelamatkan atas dasar kemanusiaan,”katanya.

Ditanya mengenai Hospital Medan di kem pelarian di Cox Bazar, katanya operasi di hospital itu ditamatkan selepas semua 56 petugas dibawa pulang, berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19 pada Mac lalu.