2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2022-12-16 at 10.55.25 AM
Info Semasa

Ribut salji besar landa AS

WASHINGTON: Ribut musim sejuk yang besar melanda wilayah tengah Amerika Syarikat (AS) kelmarin, membawa salji tebal dan hujan yang menyebabkan suhu jatuh ke paras beku ke Dataran Utara.

Selain itu, ribut petir dan angin puting beliung turut melanda, merosakkan wilayah di Selatan negara itu.

Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran angin puting beliung akan melanda serata bahagian di Louisiana, Oklahoma dan Texas.

Ia juga mengatakan bahawa pengesan ribut mengesahkan berlakunya puting beliung berhampiran Grapevine, Texas dan barat Shreveport, Louisiana.

Angin puting beliung yang membadai kawasan berhampiran Grapevide merosakkan beberapa bangunan, mengakibatkan kecelakaan di jalan raya di daerah Wise, Parker dan Jack, lapor agensi Fort Worth Star-Telegram.

Belum ada sebarang laporan mengenai kecederaan atau kematian.

“Anda berada keadaan yang mengancam nyawa. Serpihan yang berterbangan boleh mengakibatkan maut bagi mereka yang tidak dapat berlindung.

“Rumah mudah alih boleh musnah dan wujud risiko kerosakan besar pada kediaman, perniagaan serta kenderaan berkemungkinan besar berlaku.

“Kemusnahan sepenuhnya juga mungkin terjadi,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) melalui amaran yang dikeluarkan sekitar 3.45 petang waktu tempatan.

Ribut yang berlaku juga telah mengakibatkan lebih 70 jadual penerbangan dibatalkan dan penangguhan hampir 800 penerbangan lain sejak tengah hari Selasa lalu.

“Ribut ini akan berterusan, mengakibatkan banyak kerosakan dari wilayah Rockies hingga ke Pantai Timur,” menurut ramalan perkhidmatan cuaca itu.

Ribut salji turut memaksa sekolah-sekolah ditutup di wilayah Dakota, Colorado dan Nebraska.

Beberapa kawasan di wilayah berkenaan dijangka dilitupi salji setebal 61 sentimeter dan angin kencang selaju 97 kilometer sejam (km/j) sepanjang dua hari ini, kata NWS lagi.

Tiupan salji dan salji yang terkumpul memaksa penutupan banyak lebuh raya, kata pegawai pengangkutan, yang turut menggesa penduduk supaya jangan keluar rumah.

“Awas berlakunya keadaan yang cepat berubah. Kurangkan kelajuan dan memandu mengikut keadaan,” kata Jabatan Pengangkutan Dakota di halaman Twitter.

Ramalan cuaca memberi amaran bahawa suhu boleh merosot serendah -29 darjah di beberapa wilayah, kadar suhu yang boleh mengakibatkan radang dingin pada kulit tubuh, dalam masa 30 minit saja.

Campuran hujan musim sejuk akan merebak dari Upper Great Lakes hingga ke timur laut, berkemungkinan membawa salji setebal 20 sentimeter ke beberapa tempat.

Sumber: BH