2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
0e44b518-7a9e-432c-ab8e-d681e45a3d5d.jpg
Info Semasa

Rakyat Tunisia protes kemiskinan, kekurangan bahan makanan

TUNIS, TUNISIA – Beratus-ratus penduduk sebuah kawasan kejiranan miskin di Tunisia melancarkan protes semalam kerana membantah kemiskinan, kenaikan kos serta masalah kekurangan bahan makanan, lapor akhbar Arab News.

Tunjuk perasaan itu meningkatkan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Presiden Kais Saied.

Tunisia kini bergelut untuk memulihkan ekonominya ketika rasa tidak puas hati rakyat meningkat selepas kadar inflasi mencecah hampir sembilan peratus. Kedai-kedai di negara itu pula kekurangan bahan makanan kerana tidak mampu membayar import yang mahal.

Negara Afrika Utara itu juga berada di tengah-tengah krisis politik yang teruk sejak Saied merampas kuasa eksekutif tahun lalu dan membubarkan Parlimen dalam tindakan yang digelar pembangkang sebagai rampasan kuasa.

Di daerah miskin Douar Hicher di Tunis, sebilangan peserta tunjuk perasaan mengangkat buku roti ke udara sambil bersorak: “Di mana Kais Saied?”

Ada antara mereka bertindak membakar tayar.

Selain itu, terdapat juga peserta tunjuk perasaan yang melaungkan slogan: “Di mana gula?”

Masalah kekurangan bekalan makanan semakin buruk di Tunisia dengan rak-rak di pasar raya dan kedai roti terbiar kosong. Ia menambah rasa tidak puas hari dalam kalangan rakyat yang sukar mendapat bekalan gula, susu, majerin, minyak masak dan beras.

Beberapa video yang dikongsikan di media sosial memaparkan berpuluh-puluh pelanggan berebut untuk mendapatkan satu kilogram gula di pasar.

Tunisia yang mengalami krisis kewangan terburuknya sedang berusaha mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyelamatkan ekonomi daripada terus lumpuh.

Sumber: Kosmo