2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-05-16 at 10.48.57 AM
Info Semasa

Rakyat Palestin memperingati 75 tahun ‘malapetaka’ di Tebing Barat

RAMALLAH: Ribuan penduduk seluruh Tebing Barat yang diduduki semalam mengibarkan bendera Palestin bagi menandakan ulang tahun ke-75 ‘Nakba’ atau ‘malapetaka’ yang dikaitkan dengan penubuhan Israel.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih 760,000 rakyat Palestin melarikan diri atau diusir dari rumah mereka pada 1948.

Menurut laporan Berita Harian, di Ramallah, penunjuk perasaan membawa sepanduk hitam bertulis ‘Kembali’ dan mengibarkan imej kunci lama iaitu simbol nasib rakyat Palestin dan menuntut pengiktirafan hak mereka untuk dikembalikan.

Peringatan Nakba tahun ini diadakan ketika ketegangan sedang memuncak dalam konflik Israel-Palestin, yang meragut lebih 170 nyawa di kedua-dua belah pihak sejak awal tahun.

Seramai 35 orang, hampir kesemuanya warga Palestin, terbunuh dalam tempoh lima hari ketika pertempuran antara Israel dan kumpulan bersenjata di Semenanjung Gaza, minggu lalu.

Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1948 ekoran undian PBB pada November 1947 yang membahagikan mandat British untuk Palestin kepada sebuah negara Yahudi dan Arab.

Sehari selepas Israel diisytiharkan, lima tentera Arab menyerang negara itu. Dalam peperangan yang berlaku, Israel mengalahkan tentera Arab.

Ketika konflik, lebih 600 komuniti dihapuskan atau dibuang oleh tentera Yahudi, menurut pertubuhan Israel Zochrot.

Menurut PBB, kini terdapat 5.9 juta pelarian Palestin yang tinggal di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria.

Israel menyambut Hari Kemerdekaan ke-75 pada 26 April lalu mengikut kalendar Yahudi.

Sementara itu, PBB buat pertama kalinya memperingati Nakba di ibu pejabatnya di New York, semalam, selepas resolusinya diluluskan pada November lalu.

Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmud Abbas, yang mempunyai status pemerhati PBB, bercakap dalam bahasa Arab pada sesi khas Jawatankuasa Pelaksanaan Hak-Hak Rakyat Palestin Tidak Boleh Dihapuskan.

“Kami menuntut hari ini secara rasmi, berdasarkan undang-undang dan resolusi antarabangsa bagi memastikan Israel menghormati resolusi ini atau menggantung keahlian Israel dalam PBB,” kata Abbas merujuk kepada ratusan resolusi PBB yang dilihat sebagai menjamin hak rakyat Palestin.

Dalam ucapannya, Abbas berkata bahawa Nakba “tidak bermula pada 1948 dan ia tidak berhenti selepas tarikh itu.”

“Kuasa penjajah Israel meneruskan penjajahan dan pencerobohannya terhadap rakyat Palestin dan terus menafikan Nakba serta menolak resolusi antarabangsa berhubung kepulangan pelarian Palestin ke tanah air mereka,” katanya.

Sementara itu, Khairy Hanun yang berusia 64 tahun, memakai pakaian tradisional Palestin, dengan membawa beg pakaian dan kunci lama bagi melambangkan perpindahan pada 1948.

“Kami di sini mahu memberitahu Israel bahawa seperti inilah mereka menghalau ibu bapa dan datuk nenek kami, hanya dengan membawa pakaian”, kata Hanun, penduduk Tulkarm di utara Tebing Barat.

Di Israel, kira-kira dua juta orang iaitu lebih 20 peratus penduduk adalah rakyat dan keturunan Palestin yang kekal di sana.

Masyarakat Arab-Israel, sebagaimana Israel memanggil mereka, juga diwakili pada perhimpunan di Ramallah.

Mohammed Barak, berkata antara kesilapan terbesar yang dilakukan oleh gerakan Zionis adalah antara 150,000 dan 160,000 rakyat Palestin kekal (di Israel) selepas Nakba.

“Hari ini, jumlah kami hampir dua juta dan kami bukan nombor, tetapi bukti identiti kebangsaan yang cuba dipadamkan oleh Israel,” katanya.

Nohad Wahdane, yang keluarganya hidup ketika kejadian Nakba, berkata bahawa “peringatan ini dianjurkan setiap tahun, supaya golongan muda dapat mempelajari sejarah mereka dan tidak melupakannya, tambah laporan Berita Harian.