2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

POLIS INDONESIA LARANG DEMONSTRASI, SEBAR MAKLUMAT PALSU

 

JAKARTA, 3 Sept – Polis di Indonesia hari ini melarang sebarang demonstrasi di Papua yang boleh membawa kepada ‘tindakan anarki’ atau kekacauan selepas wilayah itu dilanda protes besar-besaran berpunca daripada bantahan terhadap diskriminasi kaum dan etnik selama hampir dua minggu.

 

Arahan itu dikeluarkan sehari selepas pihak berkuasa memberkas 28 individu yang terlibat dalam rusuhan ganas.

 

“Semua individu dilarang mengadakan protes yang boleh mencetuskan huru-hara, kerosakan dan tindakan vandalisme ke atas kemudahan awam serta pertempuran antara kumpulan,” menurut arahan dimuat naik polis menerusi Twitter.

 

Antara peruntukan lain, polis juga melarang penyebaran berita palsu dan membawa senjata tajam.

 

Dalam satu kenyataan lain, Ketua Polis, Rudolf Rodja menegaskan beliau tidak akan memberi kebenaran kepada sebarang perhimpunan dan mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.

 

Terdahulu, kerajaan memaklumkan ia akan mengerah kira-kira 2,500 polis dan tentera tambahan ke Papua untuk memberi bantuan sokongan kepada 1,200 anggota keselamatan sedia ada.

 

Khamis lalu, lebih seribu penunjuk perasaan membaling batu dan membakar kedai dan bangunan di Jayapura yang berlaku sehari selepas pertempuran ganas dilaporkan di kawasan lain di pulau itu yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea.

 

 

Sumber: Sinar Harian