2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PERUTUSAN TAHUN BARU 2019

PERUTUSAN TAHUN BARU 2019

PENGURUS BESAR SERANTAU MUSLIM
USTAZ MOHD HAKIM MOHD NOR

2019, TAHUN BUAT BAIK BERTERUSAN

Menjelang tahun baru, sudah semestinya banyak agenda dan perancangan yang sudah disusun samada diperingkat individu mahupun organisasi. Sudah pasti perancangan yang direncana bertujuan untuk mendapatkan hasil yang lebih baik berbanding 2018.

Saya melihat pentingnya umat Islam khususnya mempunyai perancangan yang rapi dalam kehidupan seharian kerana kita menjunjung prinsip hari ini mestilah lebih baik dari semalam.

Ia selaras dengan pepatah popular yang diungkapkan oleh Saidina Ali iaitu perkara hak yang tidak berperancangan akan dikalahkan oleh perkara batil yang tersusun.

2018 yang berlalu mencoretkan banyak peristiwa luka dan derita umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Samada dibantai oleh rejim keparat seperti yang berlaku di Palestin, Syria dan Myanmar mahupun akibat bencana alam yang menimpa seperti di Lombok, Palu dan Selat Sunda.

Nasib umat Islam khususnya yang berstatus minoriti di negara Asean harus menjadi keutamaan kita di rantau ini. Kita tidak boleh berdiam diri melihat kemiskinan dan kesusahan saudara seakidah kita di Selatan Thailand, Laos, Selatan Filipina, Kemboja, Vietnam dan Myanmar. Kita tidak boleh berpeluk tubuh melihat kesatuan umat di negara yang lain seperti di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura terungkai tanpa ada satu ketumbukan khusus untuk menjaga solidariti umat ini.

Nasib yang menimpa jutaan Umat Islam Rohingya yang dinafikan kewarganegaraan oleh Myanmar harus kita perjuangkan habis habisan sehingga mereka kembali mendapatkan hak mereka semula.

Semua ini hanya akan dapat direalisasikan sekiranya kita mempunyai perancangan yang rapi. Atas dasar itu, SERANTAU MUSLIM komited untuk merealisasikan visi utama iaitu untuk menjadi rujukan utama dalam membela nasib muslim minoriti di Asia Tenggara.

Rancangan stratergik 5 tahun telah dipersiapkan dengan sasaran untuk membantu 10juta orang menjelang 2023. Untuk tujuan itu, 5 misi utama telah disasarkan dan fokus pada 2019 menyasarkan sekurang kurangnya 2,000 orang penyumbang tetap secara bulanan melalui kempen waqaf.my

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan slogan kempen Serantau Muslim tahun 2019 iaitu Buat Baik Berterusan. Ia dipetik dari semangat istiqamah buat baik walau sedikit tapi berterusan.

Semoga tahun 2019 ini akan menjadikan kita semua khairun nas, iaitu sebaik baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain. Insya Allah.