2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PENGGANAS SERANG MASJID CHRISTCHURCH CADANG RAYU HUKUMAN

WELLINGTON, 8 NOV – Pengganas serang masjid Christchurch cadang rayu hukuman, dakwa pengakuan bersalah dibuat bawah tekanan.

Pengganas yang menyerang masjid di Christchurch sedang pertimbang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup.

Menurut peguam belanya, rayuan berkenaan hendak dikemukakan atas alasan pengakuan bersalah Brenton Tarrant, 31, terhadap kejadian tembakan pada 2019 dibuat di bawah tekanan.

Tarrant berasal dari Australia mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 dakwaan percubaan membunuh dan satu dakwaan keganasan ketika didakwa di mahkamah tahun lalu.

Dia dihukum penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat, kali pertama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan di New Zealand.

Pada Mac 2019, Tarrant menyerang jemaah ketika solat Jumaat di Masjid Al Noor Christchurch dengan senjata separa automatik, sebelum bergerak ke Pusat Islam Linwood, sambil menyiarkan secara langsung pembunuhan itu.

Mangsa semuanya beragama Islam dan termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

New Zealand tidak mempunyai hukuman mati.

Namun, dalam menjatuhkan hukuman pada Ogos tahun lalu, Hakim Cameron Mander berkata beliau mengenakan hukuman paling keras terhadap tindakan “tidak berperikemanusiaan” Tarrant.

Sumber: One News