2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2023-03-06 at 12.33.40 PM
Info Semasa

PBB kecam menteri Israel gesa kampung Palestin ‘dihapuskan’

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam gesaan ‘mengejutkan’ menteri Israel yang mahu bandar Palestin yang menjadi lokasi keganasan dihapuskan.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich membuat gesaan itu Rabu lalu, beberapa hari selepas dua penduduk mati ditembak di Huwara, yang mendorong penduduk Israel menyerang bandar Tebing Barat, lapor Berita Harian.

“Saya berpandangan kampung Huwara perlu dihapuskan. Saya rasa Israel perlu melakukannya,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Smotrich menerusi Twitter berkata beliau tidak bermaksud menghapuskan kampung Huwara, sebaliknya merujuk pada tindakan khusus yang menyasarkan pengganas.

Bercakap dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk, mengecam kenyataan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich dan menyifatkannya sebagai sukar difahami dan menghasut keganasan dan permusuhan.

“Peningkatan keganasan ini menghukum rakyat tidak bersalah di semua pihak. Pimpinan dan rakyat semua pihak perlu perlu berundur daripada tindakan yang meningkatkan ekstremisme dan keganasan,” katanya.

Washington yang juga sekutu rapat Israel, pula lebih tegas dalam maklum balas terhadap kenyataan Smotrich, apabila jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, tidak boleh diterima dan menjijikkan.

“Seperti mana kami mengutuk warga Palestin yang menghasut keganasan, kami juga mengutuk kenyataan provokatif ini yang turut menghasut kepada keganasan,” katanya.

Dalam laporan sama, kenyataan Kementerian Luar Perancis turut mengutuk kenyataan itu dan menyifatkannya sebagai ‘tidak boleh diterima, tidak bertanggungjawab dan tidak selayaknya dikeluarkan oleh anggota kerajaan Israel’.

“Kenyataan ini hanya mencetus kebencian dan boleh menyebabkan keganasan semasa semakin buruk,” katanya sambil menggesa semua pihak bertenang.

Smotrich yang berhaluan ekstremis kanan, berkata demikian ketika lonjakan keganasan dalam konflik Israel-Palestin, khususnya di Tebing Barat yang diceroboh Israel sejak Perang Enam Hari pada 1967.

Serangan di Huwara Ahad lalu menyaksikan ratusan penduduk haram Israel membakar dan melempar batu ke arah rumah dan kenderaan, manakala seorang lelaki Palestin terbunuh di kampung Zaatara.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan, lebih 350 warga Palestin cedera dalam insiden itu dan kebanyakannya akibat menghidu gas pemedih mata.

Isnin lalu, seorang warga Israel-Amerika mati ditembak manakala pada Rabu, tentera Israel yang mencari suspek di kem pelarian Aqabat Jabr berhampiran Jericho, membunuh seorang warga Palestin.