2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

PBB GESA SELURUH NEGARA BEKU ASET PEMIMPIN TENTERA MYANMAR

 

KUALA LUMPUR/DHAKA, 19 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap sekatan oleh Amerika Syarikat terhadap pemimpin tentera Myanmar, susulan isu pencabulan hak asasi manusia terhadap penduduk Islam Rohingya, adalah tidak memadai.

 

Perkara itu dinyatakan oleh wakil khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Yanghee Lee, semalam.

 

Baru-baru ini, Washington mengumumkan larangan terhadap Ketua Komander tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dan tiga lagi komander kanan tentera negara itu, serta keluarga mereka daripada memasuki Amerika Syarikat.

 

Larangan itu dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap insiden pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Rohingya di Myanmar.

 

Namun, Lee menyifatkan larangan perjalanan itu tidak memadai dan mendesak supaya aset kesemua komander itu dibekukan.

 

Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat mempertahankan tindakan terhadap anggota tentera Myanmar berkenaan dan menggesa negara lain supaya mengambil tindakan sama.

 

“Kami sentiasa mengambil berat mengenai tindakan yang bakal mengubah perlakuan tentera Myanmar, mahu mereka bertanggungjawab terhadap kekejaman dan salah laku terhadap mangsa, selain menyokong demokrasi serta kemakmuran di negara itu,” katanya.

 

Sementara itu, di Dhaka, timbalan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), James Stewart, berkata pendakwa raya, Fatou Bensouda sudah memohon persetujuan daripada hakim ICC untuk membuka kertas siasatan mengenai jenayah yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

 

Sumber: Berita Harian