2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

PAPUA DILANDA KEGANASAN TERBARU

 

MANOKWARI (INDONESIA), 22 Ogos – Wilayah Papua dicemari ketegangan terbaru serentak dengan penghantaran lebih daripada 1,000 pegawai keselamatan bagi mengawal suasana selepas rusuhan ganas yang menyaksikan bangunan dibakar manakala penunjuk perasaan bertempur di jalanan.

 

Jakarta turut menyuarakan permintaan untuk wilayah jajahan yang sekian lama diselubungi pemberontakan terhadap pemerintahan Indonesia sejak berdekad lalu itu kembali tenang, susulan keganasan berikutan penahanan sejumlah penuntut Papua minggu lalu.

 

Terkini, kira-kira 1000 individu merusuh di jalan di bandar Timika, dengan sebilangan mereka bertindak membaling batu ke arah polis dan cuba merobohkan pagar yang mengelilingi bangunan parlimen.

 

Kumpulan perusuh terbabit hanya bersurai apabila polis melepaskan tembakan amaran ke udara.

 

Selain Timika, tunjuk perasaan turut berlaku di pekan Fakfak di bahagian barat wilayah berkenaan yang membahagikan Papua Barat dan negara Papua New Guinea.

 

Bantahan terbaru itu berlaku selepas beberapa bandar kaya sumber di Papua lumpuh minggu ini, termasuk di hab perniagaan Manokwari yang menyaksikan bangunan parlimen dan perniagaan dibakar perusuh.

 

Pihak polis turut menyatakan mereka sedang memburu 250 banduan yang berjaya melarikan diri dari penjara di bandar Sorong selepas ia dibakar penunjuk perasaan.

 

Beberapa anggota polis dan penunjuk perasaan turut cedera walaupun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

 

Sementara itu, menurut kerajaan dan pihak berkuasa Papua, sejumlah 1,200 anggota polis dan pasukan tambahan juga sudah digerakkan ke Manokwari dan Sorong dari beberapa bahagian negara.

 

Sumber: Berita Harian