2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

PALESTIN NAMAKAN LOKASI DI BARAT GAZA SEBAGAI ‘JALAN MALAYSIA’

KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebatang jalan di barat bandar raya itu sebagai ‘Jalan Malaysia’ sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-64.

Menerusi perkongsian di Twitter, Muslim Imran memaklumkan papan tanda jalan tersebut terletak di bulatan Ansar, Gaza.

Papan tanda jalan itu ditulis dalam Bahasa Arab dan Inggeris yang menyatakan Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang mendapat kemerdekaan daripada Britain pada 31 Ogos 1957 dengan Kuala Lumpur menjadi ibu negara.

“Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan Palestin. Ia sentiasa mendesak supaya Israel menamatkan pendudukan serta penduduk Palestin mendapat kembali semua hak mereka.

“Ia juga menentang usaha menjadikan pendudukan Israel sebagai suatu yang normal,” menurut papan tanda itu.

Memetik laporan BERNAMA, Muslim berkata ia merupakan kali pertama sesuatu tempat atau lokasi utama di Palestin dinamakan sempena nama Malaysia.

“Ianya sebagai menghargai solidariti Malaysia dengan Palestin. Rakyat Palestin di Gaza terutamanya, yang menerima sumbangan dari Malaysia serta komitmen negara ini terhadap perjuangan Palestin sejak sekian lama,” katanya.

Jelasnya, hubungan antara dua negara ini akrab sejak sekian lama serta persahabatan semakin utuh tahun demi tahun.

Tegas Muslim, penghargaan dan penghormatan ini dapat memberikan impak positif terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.

Sumber: AlHijrah News