2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
71ab0271-f25f-4abb-8d0f-7d68463b057e.jpg
Info Semasa

Pakar bedah China dituduh bunuh banduan akhir untuk jual jantung

SYDNEY: Ratusan pakar bedah dan petugas kesihatan di China dituduh membunuh sejumlah tahanan akhir dengan mengeluarkan jantung mereka untuk pemindahan organ.

Malah, mereka juga didakwa melakukan prosedur itu sebelum banduan diisytiharkan meninggal dunia.

Garis panduan antarabangsa bagi pemindahan organ menetapkan proses mengeluarkan organ tidak boleh menyebabkan kematian penderma.

Namun, penyelidikan terbaharu oleh Universiti Kebangsaan Australia yang diterbitkan minggu ini mencadangkan kumpulan pakar bedah China mungkin melakukan perkara tersebut.

Lapor Al-Jazeera, kajian forensik terhadap 2,838 laporan dalam jurnal saintifik China mendedahkan sebanyak 71 kes yang menunjukkan kemungkinan pakar bedah mengeluarkan jantung atau paru-paru pesakit sebelum mereka disahkan ‘mati otak’.

Mati otak kebiasaannya ditakrifkan sebagai keadaan perubatan di mana pesakit tidak dapat bertahan atau meneruskan hidup tanpa bantuan mesin pernafasan.

Kesemua 71 kes tersebut berlaku antara 1980 dan 2015, iaitu tarikh akhir yang penting kerana pada tahun tersebut, China mengharamkan pengambilan organ daripada banduan.

Sebelum itu, kebanyakan pemindahan organ di China dipercayai diperoleh daripada banduan yang dihukum mati kerana pendermaan organ secara sukarela amat terhad.

Menurut pengarang bersama kajian tersebut, Matthew Robertson, pakar bedah China mungkin memainkan ‘peranan penting dalam saat akhir banduan’ apabila mereka yang bertanggungjawab atas kematian tahanan.

“Kami mendapati, banduan akhir bukannya meninggal dunia akibat menjalani hukuman mati.

“Tetapi, mereka mati akibat jantung mereka dikeluarkan untuk prosedur pemindahan organ,” katanya.

DIBIARKAN HIDUP

Dalam pada itu, pakar perubatan di China juga didakwa sengaja membiarkan banduan yang mengalami keadaan mati otak untuk ‘terus hidup’ bagi membolehkan organ lain diambil, sekali gus memberi keuntungan besar kepada pihak tertentu.

Prosedur pembedahan haram itu didakwa melibatkan 348 pakar bedah, jururawat, pakar bisu dan penyelidik perubatan.

Beijing menganggap data mengenai hukuman mati sebagai rahsia negara, namun menurut Amnesty International, China dianggap sebagai negara paling banyak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah.

Selain itu, komuniti antarabangsa juga sukar untuk mengesahkan sama ada China masih melakukan pengambilan organ daripada banduan berikutan kerahsiaan tinggi negara itu.

“Memandangkan rekod hak asasi manusia kerajaan China yang lemah dan semakin teruk kebelakangan ini, kita perlu memastikan pengambilan organ banduan dihentikan,” kata Maya Wang, penyelidik kanan China di Human Rights Watch.

SUDAH LAMA BERLANJUTAN

Sebuah tribunal yang berpangkalan di United Kingdom pada 2019 memaklumkan, ‘tiada bukti menunjukkan mana-mana infrastruktur penting yang dikaitkan dengan industri pemindahan organ di China didedahkan’.

Selain itu, tiada penjelasan bagaimana industri tersebut terus berfungsi.

Sehubungan itu, tribunal berkenaan membuat kesimpulan ‘pengambilan organ secara paksa sudah dilakukan selama bertahun-tahun di seluruh China pada skala yang ketara’.

Kebanyakan organ itu dipercayai diperolehi daripada banduan dan ahli kumpulan pergerakan agama yang diharamkan, Falun Gong.

Sementara itu, penganalisis juga tidak menolak kemungkinan data pemindahan organ di China diubah oleh pihak berkuasa negara itu.

Sumber: Utusan