2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

NETANYAHU TERDESAK BERTAHAN KE PENGGAL BERIKUTNYA DENGAN HASRAT RAMPAS TEBING BARAT

 

BAITULMAQDIS, 12 Sept. – Janji pra-pilihan raya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk merampas Lembah Jordan di Tebing Barat dipuji puak berhaluan kanan namun dianggap pembangkang sebagai usaha ‘terdesak’ untuk beliau kekal memerintah.

 

Ikhtiar akhir Netanyahu menjelang pilihan raya pada 17 September itu turut dikecam Palestin, negara Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).

 

Dalam ucapan secara langsung di televisyen tempatan, Netanyahu berkata sekiranya menang, beliau akan menakluki lembah strategik yang dianggarkan satu pertiga daripada Tebing Barat yang diduduki.

 

Beliau turut mengulangi niatnya untuk merampas penempatan Israel di Tebing Barat. Sekiranya berjaya, kedua-dua langkah itu akan memusnahkan harapan untuk merealisasikan penyelesaian dua negara.

 

Israel menduduki Tebing Barat dalam Perang Enam Hari pada 1967, langkah yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

 

Menurut undang-undang antarabangsa, penempatan itu adalah haram dan menjadi penghalang utama ke arah perdamaian kerana ia dibina di tanah yang bakal menjadi sebahagian daripada negara Palestin.

 

Sumber: Berita Harian