2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

MANGSA BANJIR DI KUCHING MENINGKAT

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, meningkat kepada 122 orang hari ini, susulan hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang besar, kelmarin.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata semua mangsa terdiri 35 keluarga di Kampung Buntal dan Kampung Sungai Batu di Santubong, di sini.

Beliau berkata, mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Sri Buntal iaitu seramai 95 orang daripada 28 keluarga dan PPS Surau Ar-Rahman yang menempatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Semalam, seramai 81 mangsa ditempatkan di dua PPS itu namun jumlahnya meningkat tengah malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hujan lebat dan fenomena air pasang besar yang berlaku serentak kelmarin, menyebabkan kediaman penduduk di dua kampung berdekatan pantai itu dinaiki air.

Pemantauan dilakukan secara berterusan dan penduduk akan dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing apabila keadaan banjir reda sepenuhnya.

Sumber: Berita Harian