2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
8266a9cf-efba-4092-b16a-9ac35adcce50.jpg
Info Semasa

Lelaki Palestin mati lepas 4 hari ditembak Israel

Baitulmaqdis: Seorang lelaki Palestin yang mengalami kecacatan mental meninggal dunia semalam selepas empat hari ditembak tentera Israel di sebuah pusat pemeriksaan.

Mangsa meninggal dunia di Pusat Perubatan Rabin di Israel.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa, Hussein Qawariq, 59, dari kampung Awarta, ditembak pada Selasa lalu oleh tentera Israel yang mengawal pusat pemeriksaan di Huwara, berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat.

AFP dimaklumkan tentera Israel bahawa mereka ternampak seorang lelaki menghampiri pos tentera itu.

Pada mulanya, tentera Israel melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada mangsa.

“Suspek terus menghampiri tentera, yang bertindak balas dengan tembakan ke arahnya dengan satu tembakan kena pada mangsa,” kata tentera.

Tentera Israel sedang menyiasat kes tembakan maut itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Huwara, Wajih Odeh, memberitahu AFP bahawa Qawariq mengalami kecacatan mental.

“Mangsa dikenal pasti kerap mengumpul botol dan tin dari jalanan dan meminta wang daripada peniaga di kawasan itu”, katanya.

Menurut agensi berita Palestin Wafa, keluarga Qawariq juga mengesahkan mangsa menghadapi masalah gangguan mental.

Sekurang-kurangnya 54 rakyat Palestin terbunuh sejak akhir Mac lalu, kebanyakannya di Tebing Barat.

Antaranya wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh, yang mempunyai dua kerakyatan iaitu Palestin-Amerika Syarikat (AS) ketika membuat liputan serbuan Israel di Jenin.

Serangan ke atas sasaran Israel membunuh 19 orang, dalam tempoh yang sama.