2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

LELAKI PALESTIN LUMPUH SELEPAS DITEMBAK TENTERA ISRAEL

BAITULMAQDIS: Seorang rakyat Palestin lumpuh dari leher ke bawah selepas ditembak di leher oleh tentera Israel ketika pertempuran di Tebing Barat, semalam, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Sebelum ini sumber melaporkan kecederaan Haroun Rasmi Abu Aram, 24, di kampung Al-Tuwanah, selatan Hebron.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berusaha menghalang tentera Israel daripada mencuri penjana elektrik miliknya, menurut agensi berita Palestin, WAFA.

Kumpulan hak asasi Israel B’Tselem berkata, Abu Aram membantu jirannya membina rumah ketika insiden berkenaan berlaku.

Pasukan Pertahanan Israel memberitahu AFP bahawa sejumlah warga Palestin menyerang anggota tenteranya yang melakukan operasi rutin untuk memindahkan sebuah “bangunan haram” dan melepaskan tembakan ke udara sebagai tindak balas.

Israel menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan penempatannya di kawasan itu dianggap sebagai haram oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun populasi rakyat Israel meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada masa ini terdapat kira-kira 450,000 penduduk Yahudi di Tebing Barat, tinggal bersama kira-kira 2.8 juta penduduk Palestin.

Ketegangan antara dua komuniti berulang kali menimbulkan keganasan.

Sumber: Berita Harian