2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Aktiviti SMBANTUAN KECEMASANKenyataan MediaMAKANAN

KERAJAAN DAN NGO HARUS BEKERJASAMA DEMI NEGARA

Kenyataan Akhbar Serantau Muslim
(29 Mac 2020)

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyambut baik usaha pihak kerajaan memperketatkan semua aktiviti termasuklah penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan kebajikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kami yakin tindakan tersebut adalah salah satu usaha kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut dalam kalangan masyarakat.

Walaubagaimanapun, Serantau Muslim yang merupakan salah satu badan yang bergiat aktif menyampaikan sumbangan sepanjang PKP ini berpandangan, NGO-NGO dan badan-badan kebajikan juga perlu terus diberi peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada masyarakat. Malah, kebanyakkan NGO termasuk Serantau Muslim telah lama memberi khidmat bakti kepada masyarakat hatta sebelum timbulnya pandemik wabak ini melanda.

Kami mencadangkan agar gerak kerja, sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan oleh NGO-NGO dan badan kebajikan melalui sukarelawannya tidak disekat dan dihalang. Sebaliknya kami mencadangkan kerajaan hanya memperketatkan syarat-syarat kepada semua NGO dan badan-badan kebajikan yang ingin menjalankan sebarang aktiviti. Kerajaan juga boleh menyediakan S.O.P yang sepatutnya yang perlu diikuti oleh NGO demi keselamatan semua pihak.

Antara cadangan yang kami ingin kemukakan ialah, setiap NGO yang ingin menjalankan apa jua program mahupun agihan bantuan mestilah berdaftar dengan pihak berkaitan sama ada pejabat daerah, polis mahupun kementerian kesihatan. Setiap sukarelawan juga mestilah membuat saringan kesihatan setiap hari sebelum menjalankan aktiviti dan program agar mereka bebas daripada wabak Covid19.

Peranan NGO dalam keadaan sekarang ini adalah sangat penting dan wajar diiktiraf untuk sama-sama berkhidmat. Tidak siapa mampu menafikan peranan besar NGO selaku pihak ketiga ini dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat. Oleh yang demikian kami berharap pihak kerajaan dapat mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil NGO untuk kita sama-sama mencari kaedah yang terbaik dalam hal ini.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

USTAZ MOHD HAKIM MOHD NOR
Pengerusi Serantau Muslim