2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

Kenyataan Media 17 Julai 2018

17 Julai 2018
SERANTAU MUSLIM GESA USAHA LEBIH TEGAS ELAK PERTUMPAHAN DARAH DI GAZA
Syawal sudah pun melabuhkan tirainya. Namun, persengketaan dan pertumpahan darah di Gaza seolah-olah tiada berpenghujung kerana hari ini serangan demi serangan masih berterusan di bumi anbiya’ itu. Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa sedih dan bimbang dengan situasi semakin genting di Gaza. Lebih-lebih lagi dikhabarkan dengan berita dua remaja lelaki yang terkorban ketika bermain di atas bangunan di Katibah, Gaza.
Memetik laporan media terkini, 16 Julai yang mana melaporkan lebih 40 serangan udara dilancarkan tentera Israel ke atas beberapa kawasan yang mengakibatkan remaja lelaki maut dan beberapa penduduk lagi cedera dan ia disifatkan paling buruk selepas peperangan Israel-Hamas pada tahun 2014.
Ditambah dengan serangan terbaru oleh pihak rejim Zionis telah menyasarkan serangan di beberapa kawasan yang didakwa lokasi strategik Hamas, namun adalah sebaliknya kerana kawasan serangan adalah kawasan penduduk awam.
SERANTAU MUSLIM menyifatkan tindakan Zionis sangat keterlaluan kerana seolah-olah sengaja mencari mangsa dan mengobankan penduduk awam yang tidak berdosa. SERANTAU MUSLIM melihat tindakan Israel semakin berani kerana telah meningkatkan angka korban penduduk Palestin selepas sekutunya Amerika Syarikat mencabul hak tanah air umat Islam di sana pada pertengahan Mei yang lalu.
SERANTAU MUSLIM berharap pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dapat mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap insiden yang berlaku di Gaza walaupun sebelum ini telah banyak gesaan suara dunia untuk mengambil tindakan terhadap Israel dan sekutunya, namun ia seperti di awangan dan mungkin terkubur begitu sahaja kerana Israel makin bertindak berani terhadap penduduk awam.
Walau apapun, SERANTAU MUSLIM berharap Zionis akan lumpuh suatu hari nanti dan diharap penduduk Islam di bumi anbiya terus kuat dalam menghadapi segala rintangan dan tidak tunduk dengan kemahuan puak Zionis. Diharap semua penduduk Islam di bumi Allah ini agar bersatu-padu membantu serta memanjatkan berdoa untuk kesejahteraan rakyat Palestin.
Pada masa yang sama, SERANTAU MUSLIM telah menyediakan medium untuk orang ramai yang ingin membantu rakyat Palestin dan rakyat Syria yang dihimpit krisis agama dan politik ini iaitu melalui kempen untukmupalestin.com dan untukmusyria.com yang telah dilancarkan SERANTAU MUSLIM pada 14 Jun 2018 baru-baru ini, seiring dengan Majlis Aidilfitri Permuafakatan Silaturrahim bersama anak-anak Palestin dan Syria serta Majlis Pelancaran Buku terbitan SERANTAU MUSLIM.
Diharap kesedihan dan nasib penduduk Palestin dan Syria yang dihujani serangan puak Zionis terubat dengan bantuan yang disalurkan kepada mereka. Insya-Allah.
“Persaudaraan Rentas Sempadan”.
Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM