2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 07 Mei 2018

Kenyataan Media SERANTAU MUSLIM
07 Mei 2018 | OIC Bertindak Mengurangkan Krisis di Myanmar

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM) menyokong satu demi satu usaha yang dilakukan wakil global terhadap isu Rohingnya. Diikuti dengan deligasi dari Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) turun padang melawat pelarian Rohingya di Bangladesh, seterusnya Britain menggesa badan tersebut membuat siasatan terhadap Myanmar dan kini SERANTAU MUSLIM melihat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula mula mengorak langkah.

Laporan media menyatakan Menteri Luar negara Islam telah melancarkan kempen menggerakkan sokongan antarabangsa bagi mengenakan tindakan ke atas Myanmar berhubung krisis pelarian Rohingya. Menteri Luar bersama diplomat 53 negara anggota OIC itu telah menubuhkan satu jawatankuasa kempen ketika rundingan dua hari di ibu kota Bangladesh. Menurut Setiausaha Agung OIC, Yousef Ahmed Al-Othaimeen, beliau menggelar tindakan itu merupakan langkah penting ke arah menamatkan krisis susulan perpindahan beramai-ramai muslim Rohingya dari Myanmar di kem Bangladesh.

SERANTAU MUSLIM melahirkan rasa syukur kerana jawatankuasa baharu itu akan menjadi penggerak dan menyelaras sokongan politik antarabangsa untuk bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak asasi manusia ke atas masyarakat Rohingya.
Pada masa yang sama, SERANTAU MUSIM menyokong kenyataan Setiausaha Agung OIC kerana kempen tersebut merupakan satu langkah konkrit diambil bagi mengurangkan masalah saudara se-Islam di Myanmar.

SERANTAU MUSLIM yakin dengan kempen yang dilakukan ini akan mengurangkan krisis di Myanmar pada masa akan datang. Diharap Myanmar akan mengembalikan maruah dan identiti etnik Rohingya di tanah air mereka sendiri kerana menurut sejarah lampau etnik Rohingya sememangnya telah lama mendiami Myanmar, seawal tahun 1430 lagi dan bukan hanya datang setelah Myanmar mendapat kemerdekaan.

SERANTAU MUSLIM melihat kesan yang buruk terpaksa dihadapi etnik Rohingya hari ini adalah akibat pembentukan perlembagaan oleh kerajaan junta Myanmar pada tahun 1974 dan Akta Imigresen 1974 yang menafikan secara terang lagi bersuluh hak entik Rohingya sebagai warganegara Myanmar yang sah disamping menganggap etnik ini sebagai pendatang asing tanpa izin di negara sendiri.

SERANTAU MUSLIM sentiasa berharap segala usaha pihak global seperti PBB, UNSC, OIC dan sebagainya dapat menjalankan peranan masing-masing bagi menghapuskan keganasan moden yang berlaku terhadap mana-mana negara khususnya kekejaman yang berlaku ke atas minoriti Islam.

Sekali lagi, SERANTAU MUSLIM menyeru semua umat Islam agar menyayangi saudara se-Islam sepenuh hati walau di mana mereka berada dan terus menyalurkan bantuan dalam apa jua bentuk kerana “Persaudaraan Rentas Sempadan”.

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM