2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

KEMISKINAN DIJANGKA BERGANDA DI TEBING BARAT AKIBAT COVID-19

BAITULMAQDIS – Bank Dunia memberi amaran kadar kemiskinan di Tebing Barat dijangka meningkat berlipat kali ganda ketika Palestin berdepan kejatuhan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Wilayah Palestin menyaksikan kadar jangkitan yang rendah apabila bertindak segera mengekang penularan COVID-19, dengan tiga kematian daripada 450 kes didaftarkan di antara sekitar lima juta penduduk di Gaza dan Tebing Barat.

Bagaimanapun keadaan kewangan pihak berkuasa Palestin ‘dijangka menjadi semakin sukar’ kerana kehilangan pendapatan dan peningkatan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan dan bidang lain, kata Bank Dunia dalam satu laporan.

Kejatuhan itu dijangka menyaksikan jumlah isi rumah yang tinggal di bawah garis kemiskinan meningkat tahun ini dari 14 hingga 30 peratus di Tebing Barat, sebahagian besarnya disebabkan rakyat Palestin tidak dapat menyeberang ke Israel untuk bekerja.

Pihak berkuasa Palestin minggu lalu mengakhiri perintah berkurung yang dilaksanakan awal Mac di Tebing Barat selepas tercetusnya wabak di Bethlehem.

Kelonggaran itu membolehkan lebih 63,000 penduduk Palestin melewati pusat pemeriksaan untuk bekerja pada Ahad, menurut tentera Israel yang menangani urusan awam di wilayah Palestin yang dijajah.

Sempadan Gaza Strip yang dikendalikan Hamas, ditutup untuk semua kecuali beberapa warga Gaza yang kembali, yang dikuarantin ketika ketibaan.

Angka kemiskinan mencecah 53 peratus di Gaza sebelum wabak itu bermula dan Bank Dunia meramalkan akan meningkat kepada 64 peratus tahun ini.

Secara keseluruhan, ekonomi Palestin akan menyusut antara 7.6 dan 11 peratus, kata badan global itu, kemerosotan yang teruk setelah pertumbuhan satu peratus pada 2019.

Walaupun pihak berkuasa Palestin mengambil langkah untuk menangani kesan ekonomi yang disebabkan oleh coronavirus, Bank Dunia mengatakan jurang kewangannya ‘boleh meningkat dengan membimbangkan’ dari AS$800 juta tahun lalu menjadi AS$1.5 bilion tahun ini.

Laporan itu mengesyorkan melabur dalam rangkaian mudah alih untuk meningkatkan ekonomi.

Palestin bergantung pada rangkaian data mudah alih 2G dan 3G di Gaza dan Tepi Barat, sementara beberapa negara sudah menggunakan 5G.

Sumber: Berita Harian