2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
28669527-17c9-45fb-b43f-8aa9834b9065.jpg
Info Semasa

Kemarau: 20 juta penduduk berisiko kebuluran

NAIROBI: Kira-kira 20 juta penduduk berisiko kebuluran akibat kemarau teruk yang melanda Tanduk Afrika dari selatan Ethiopia hingga ke utara Kenya dan Somalia.

Pada satu persidangan penderma, minggu lalu, hampir AS$1.4 billion berjaya dikutip untuk membantu rantau itu yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sedang berdepan kemarau terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Di kawasan yang terjejas, penduduk bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup, terutama dengan mengembala dan mengusahakan pertanian.

Mereka hanya menerima taburan hujan yang sedikit selama empat musim hujan berturut-turut sejak akhir 2020, malah keadaan diburukkan lagi dengan serangan belalang yang memusnahkan tanaman antara 2019 hingga 2021.

“Bilangan penduduk kelaparan akibat kemarau, boleh melonjak daripada anggaran semasa 14 juta kepada 20 juta orang, tahun ini,” menurut Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, bulan lalu.

Minggu lalu, agensi tindak balas kemanusiaan PBB, OCHA memaklumkan enam juta rakyat Somalia – 40 peratus daripada populasi – sedang menderitai krisis ketidakselamatan makanan pada tahap ekstrem.

“Terdapat risiko kebuluran yang sangat nyata dalam beberapa bulan akan datang jika keadaan sekarang berterusan,” katanya.

Selain itu, menurut agensi berkenaan, seramai 6.5 juta penduduk di Ethiopia dan 3.5 juta lagi di Kenya sedang menghadapi kemelut ketidakselamatan makanan yang sangat buruk.

OCHA memaklumkan, kira-kira sejuta penduduk di seluruh rantau itu terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat masalah kekurangan air dan padang ragut, malah sekurang-kurang tiga juta haiwan ternakan mati.

“Kita mesti bertindak sekarang jika mahu mencegah malapetaka kemanusiaan daripada berlaku,” kata perwakilan Pertubuhan Makanan dan Pertanian ke Kesatuan Afrika, Chimimba David Phiri, pada taklimat PBB di Geneva, bulan lalu.

Sementara itu Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, berkata 10 juta kanak-kanak di Djibouti, Ethiopia, Kenya dan Somalia amat terdesak memerlukan sokongan untuk menyelamatkan nyawa mereka akibat krisis berkenaan.

“Seramai 1.7 juta kanak-kanak kini mengalami kekurangan zat makanan yang teruk di seluruh sub-rantau itu,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan empat hari ke Ethiopia, minggu lalu.

Malah, Russell berkata, kekurangan bekalan air bersih turut meningkatkan risiko penyakit dalam kalangan kanak-kanak, selain ratusan ribu tercicir daripada persekolahan, berikutan ramai terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mencari sumber makanan dan air.

Sumber: BH