2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

KEKACAUAN DI IRAQ SEMAKIN MEMUNCAK

BAGHDAD, 7 OKT – Kekacauan di Iraq semakin memuncak semalam apabila lapan lagi maut dan 15 cedera pada hari keenam bantahan terhadap rasuah, pengangguran dan kegagalan perkhidmatan awam.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Saad Maan, keganasan terbaharu menjadikan angka kematian kepada 104 dan lebih 6,000 cedera dalam masa tidak sampai seminggu insiden tersebut berlaku.

Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi, mengumumkan siri pembaharuan selepas sesi Kabinet tengah malam luar biasa, tetapi ahli politik memberitahu ia tidak cukup menamatkan bantahan.

Pelan 17 mata Abdul Mahdi adalah hasil mesyuarat tergempar kabinet malam kelmarin dan dibuat beberapa hari selepas menawarkan janji pembaharuan yang tidak jelas.

Ia termasuk menambah subsidi perumahan bagi penduduk miskin, pendapatan bagi penganggur selain program latihan dan inisiatif pinjaman kecil bagi belia yang menganggur.

“Abdul Mahdi semakin teruk. Masalah jelas dan penyelesaian juga ketara.

“Namun beliau terlalu lemah untuk keputusan tegas dan bertindak,” kata salah seorang ahli politik Syiah.

Katanya, apa yang perlu dilakukan Abdul Mahdi adalah meninggalkan rangkaian golongan perasuah di sekelilingnya yang sebenarnya mentadbir kerajaan.

“Namun beliau tidak berbuat demikian dan mereka juga tidak membenarkan beliau bertindak seperti itu,” katanya.

Pelan pembaharuan Abdul Mahdi juga termasuk memberikan tanah kepada keluarga berpendapatan rendah, membina 100,000 rumah baharu di kawasan miskin, geran bulanan kepada penganggur dan penduduk kelainan upaya, gerai kecil untuk memberikan peluang pekerjaan dan kursus latihan baharu bagi graduan.

Sumber: Berita Harian