2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
62f04cb1-93d5-adeb-471e-7abeebd933ae
Info Semasa

Kanak-kanak bawah umur masih ditahan di penjara Syria – PBB

BEIRUT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini memaklumkan kanak-kanak bawah umur masih ditahan di penjara timur laut Syria yang diserang oleh kumpulan Daesh bulan lalu, dengan keadaan mereka dilaporkan tidak menentu.

Kumpulan hak asasi antarabangsa, termasuk Save the Children dan Human Rights Watch sebelum ini memberitahu 700 kanak-kanak lelaki berada di penjara Ghwayran sebelum serangan pada 20 Januari lalu itu.

Berumur antara 12 dan 18 tahun, mereka termasuk ramai yang mempunyai saudara dewasa di penjara berkenaan dan dipindahkan dari kem sementara berhampiran yang menempatkan ribuan kanak-kanak pejuang jihad.

“Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bertemu dengan beberapa kanak-kanak yang masih ditahan di pusat tahanan Ghwayran,” kata agensi PBB itu dalam satu kenyataan.

“Biarpun beberapa perkhidmatan asas dilaksanakan, keadaan kanak-kanak ini sangat tidak menentu,” katanya tanpa menyatakan bilangan kanak-kanak bawah umur yang masih ditahan.

Farhad Shami dari Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdish memberitahu ratusan kanak-kanak di bawah umur masih ditahan di Ghwayran, namun enggan mendedahkan angka tepat.

“Mereka disimpan di tempat yang selamat,” katanya turut memaklumkan percubaan militan memasuki penjara berkenaan dari penjara Ghwayran di bandar Hasakeh mencetuskan pertempuran selama seminggu di sekitar Kurdish, menyebabkan ratusan terbunuh, sebelum tentera pimpinan Kurdish menawan semula penjara itu.

UNICEF berkata, mereka sedang berusaha untuk segera menyediakan penjagaan bagi kanak-kanak di bawah umur dan mengesahkan bersedia membantu menyediakan tempat selamat di timur laut Syria bagi menjaga kanak-kanak paling terjejas.

Hari ini, SDF dalam satu kenyataan menjelaskan UNICEF adalah agensi PBB pertama yang diberi kebenaran untuk melawat penjara itu sejak serangan terbabit.

“Delegasi itu diberikan maklumat mengenai status remaja yang dikaitkan dengan Deash,” tambah SDF, menggunakan akronim bahasa Arab untuk kumpulan militan.

Rakaman video lawatan itu disiarkan di rangkaian media sosial menunjukkan kira-kira puluhan budak lelaki, ramai yang berselimut, di dalam sel penjara.

Pihak berkuasa Kurdish sudah berulang kali menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana gagal menyokong usaha untuk memulihkan dan menghantar pulang kanak-kanak jihad.

Ghwayran menempatkan sekurang-kurangnya 3,500 suspek militan sebelum serangan bulan lalu.

Sumber: BH