2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

JURURAWAT MUSLIM DI SINGAPURA DIBENARKAN PAKAI TUDUNG

SINGAPURA: Mulai November ini, jururawat Muslim dalam sektor kesihatan awam dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu.

Demikian diumumkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Berita Mediacorp melaporkan, beliau berkata, pemerintah berusaha untuk melaksanakan penyesuaian itu dengan teliti demi memastikan keharmonian kaum dan agama di Singapura kekal utuh.

Pemerintah juga kata beliau, faham hasrat lebih ramai Muslimah untuk memakai tudung.

Pada 2014, beliau mengadakan perbincangan tertutup dengan para pemimpin Melayu Islam dan menjelaskan dasar pemerintah bagi sektor jagaan kesihatan bukan sesuatu yang muktamad dan tidak boleh diubah.

“Kami memantau keadaan. Jika dan apabila kami mengubah pendirian, kami akan memastikan terlebih dahulu bahawa semua orang – Muslim mahupun bukan Muslim – memahami dan menerima perubahan itu. Ini kerana, tudung bukan hanya isu melibatkan masyarakat Muslim. Ia adalah isu nasional,” katanya

Sejak beberapa dekad yang lalu, lebih ramai wanita Muslim di Singapura memakai tudung baik dalam persekitaran sosial mahupun di tempat kerja.

Tahun demi tahun, perubahannya perlahan-lahan, namun dalam tempoh satu generasi, perubahan itu semakin ketara.

Maka, kata Hsien Loong, pemerintah memahami sepenuhnya hasrat lebih ramai wanita Muslim untuk memakai tudung.

“Namun, kami berhati-hati tentang bagaimana reaksi masyarakat bukan Muslim kepada perubahan ketara itu dan sejauh mana ia akan menjejas hubungan antara masyarakat berbeza.

“Adakah ia akan dilihat sebagai lebih ‘inklusif’ atau ia menonjolkan perbezaan?” tambahnya.

Hari ini, tudung dipakai dalam banyak persekitaran tanpa sekatan – di tempat awam, di tempat kerja dan di Parlimen.

Menerusi pemerhatian pemerintah sepanjang tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, ia mendapati interaksi antara kaum kekal baik.

“Masyarakat bukan Muslim semakin biasa melihat wanita Muslim memakai tudung. Wanita Muslim yang memakai tudung juga secara amnya selesa berinteraksi secara sosial dengan lelaki dan wanita bukan Muslim dalam kebanyakan keadaan,” kata Hsien Loong.

Sumber: Utusan