2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

JUNTA MYANMAR TAHAN 50 WARTAWAN

Yangon: Junta Myamar mendakwa seorang wartawan Jepun di bawah undang-undang berita palsu, menurut satu laporan pada Selasa.

Wartawan bebas itu, Yuki Kitazumi ditahan pada bulan lalu dan didakwa pada Isnin atas dakwaan menyebarkan berita palsu, lapor agensi berita Kyodo.

Lelaki itu antara 50 wartawan yang masih ditahan di negara itu susulan usaha tentera untuk mengekang demonstrasi anti-rampasan kuasa.

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Aung San Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa berkenaan.

Dalam pada itu, kumpulan pemerhati tempatan, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) menyatakan bahawa 766 orang awam sudah terbunuh dalam siri demonstrasi di seluruh negara itu.

Selain menahan wartawan, junta juga berusaha menyekat penyebaran berita mengenai krisis itu dengan menutup operasi media bebas dan mengganggu akses internet.

AAPP mendakwa daripada 50 wartawan yang ditahan, 25 daripadanya sudah didakwa, Selain itu, waran tangkap dikeluarkan kepada 29 wartawan lain.

Sumber: Harian Metro