2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

HAMPIR 250,000 PENDUDUK MYANMAR HILANG TEMPAT TINGGAL

YANGON: Tindakan kekerasan junta tentera bagi menangani tunjuk perasaan awam yang membantah rampasan kuasa mengakibatkan kehidupan hampir 250,000 penduduk Myanmar terjejas.

Wakil Khas Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Tom Andrews, berkata situasi itu menuntut masyarakat antarabangsa perlu bertindak segera menangani bencana kemanusiaan di negara itu.

“Amat mengerikan apabila mengetahui tindakan junta mengakibatkan hampir suku juta penduduk Myanmar hilang tempat tinggal,” katanya menerusi ciapan Twitter, semalam.

Junta tentera dilaporkan terus meningkatkan tindakan kekerasan bagi menangani demonstrasi awam menentang rampasan kuasa tentera yang menggulingkan pemimpin awa Aung San Suu Kyi sejak 1 Februari lalu.

Sekurang-kurangnya 738 terkorban akibat tindakan junta manakala 3,300 ditahan di penjara, dakwa kumpulan pemantau tempatan.

Sementara itu, jurucakap kumpulan pemberontak, Briged Lima Kesatuan Kebangsaan Karen, Padoh Mann Mann berkata, lebih 2,000 etnik Karen kini menyeberangi sempadan Myanmar ke Thailand dan ribuan lagi etnik itu hilang tempat tinggal.

“Dunia perlu bertindak segera bagi menangani isu bencana kemanusiaan ini. Mereka kini bersembunyi di dalam hutan,” katanya.

Pengarah Pasukan Pembebasan Burma, David Eubank pula berkata, lebih 24,000 penduduk hilang tempat tinggal di wilayah Karen selepas junta melakukan serangan mortar dan udara pada awal bulan ini.

“Walaupun serangan udara sudah berakhir, serangan darat terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan penduduk yang terjejas kehidupan adalah pesawah, sekali gus dijangka menyebabkan berlaku kekurangan bekalan makanan jika mereka tidak dapat kembali ke kediaman mereka untuk menanam padi.

“Dijangkakan masalah terputus bekalan makanan selama enam bulan akan berlaku akibat masalah ini,” katanya.

Eubank turut berkata, serangan udara berterusan di Kachin dekat utara Myanmar mengakibarkan kira-kira 5,000 penduduk hilang tempat tinggal.

Sementara itu, menteri luar dan pemimpin ASEAN dilaporkan akan bermesyuarat di Jakarta pada Sabtu ini bagi membinangkan krisis di Myanmar.