2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

GUNUNG RAUNG MELETUS, ABU TEBAL MENYELUBUNGI KAWASAN SEKITAR

BANYUWANGI, JAWA TIMUR: Gunung Raung yang terletak di sempadan Banyuwangi, Jember dan Daerah Bondowoso, Wilayah Timur Jawa meletus dan mengeluarkan abu gunung berapi yang menyelubungi beberapa kampung di Banyuwangi, semalam.

Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Pejabat Bencana Banyuwangi (BPBD), Eka Muharam, berkata kebanyakan penduduk mengalami sakit mata ketika berada di luar namun mereka diminta untuk bertenang.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil kerjasama dengan pegawai Pasukan Keselamatan Gunung Berapi Raung (PPGA), abu itu masih dianggap selamat,” katanya.

“Kami menggesa mereka yang terjejas untuk menggunakan pelitup muka dan cermin mata ketika keluar rumah,” katanya.

Portal berita antaranews.com melaporkan pegawai PPGA, Burhan Alethea, mengesahkan bahawa gunung yang meletus itu mengeluarkan asap tebal sehingga mencapai ketinggian 1,000 meter di atas puncak kawah.

Gunung Raung setinggi 3,332 meter masih mengalami mikrotremor berterusan yang dirakam pada amplitud 3-20 MM (dominan 6 MM).

“Aktiviti gunung berapi kebiasaannya tidak meningkat. Hanya berbeza secara visual,” katanya.

Sejak Rabu lalu, Gunung Raung mengalami letusan dan Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) mengisytiharkan peningkatan status aktiviti gunung berapi Gunung Raung dari Tahap I (normal) ke Tahap II (amaran).

Lapangan Terbang Banyuwangi ditutup sementara pagi semalam berikutan terjejas akibat abu gunung berapi itu.

Selain Gunung Raung, Gunung Merapi di Jawa Tengah dan Gunung Semeru di Jawa Timur juga meletus akhir-akhir ini. 

Sumber: Berita Harian