2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

DUA BEKAS PEGAWAI KERAJAAN UIGHUR DIHUKUM MATI

BEIJING: Dua bekas pegawai kerajaan daripada etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China dijatuhi hukuman mati kerana terbabit dalam ‘aktiviti pemisah’, demikian menurut mahkamah negara itu.

Bekas ketua jabatan kehakiman, Shirzat Bawudun dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan untuk tempoh dua tahun kerana didakwa ‘memecah-belahkan negara’.

Shirzat didakwa berkonspirasi dengan organisasi pengganas, menerima rasuah dan melaksanakan aktiviti pemisah.

Dia didapati bersalah bekerjasama dengan Pergerakan Islami Turkestan Timur, yang dikategorikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam kumpulan itu pada 2003.

Amerika Syarikat mengeluarkan kumpulan itu daripada senarai pengganas pada November lalu, atas alasan tiada bukti kumpulan berkenaan masih wujud.

Shirzat juga didakwa memberikan ‘maklumat kepada askar asing’, selain melaksanakan aktiviti agama diharamkan pada majlis perkahwinan anak perempuannya, menurut agensi berita Xinhua.

Kenyataan mahkamah juga berkata, bekas pengarah jabatan pendidikan Xinjiang, Sattar Sawut turut dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan untuk tempoh dua tahun.

Ia selepas lelaki itu didapati bersalah atas jenayah aktiviti pemisah dan menerima rasuah.

Sattar didapati bersalah kerana memasukkan elemen pemisahan etnik, keganasan dan fahaman agama melampau dalam buku teks dalam bahasa Uighur, kata pegawai rasmi.

Mahkamah berkata, buku teks itu mempengaruhi ramai orang untuk terbabit dalam siri serangan di Urumqi, termasuk rusuhan yang menyebabkan 200 kematian pada 2009.

Hukuman mati yang ditangguhkan kebiasaannya akan ditukar kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

Sumber: Berita Harian