2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

BERPULUH RAKYAT PALESTIN CEDERA BERTEMPUR DENGAN TENTERA I$RAEL

RAMALLAH: Puluhan penunjuk perasaan Palestin cedera semalam semasa pertempuran dengan tentera Israel berhampiran dua bandar di utara Tebing Barat, kata pegawai perubatan dan saksi.

Anggota perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 15 penunjuk perasaan cedera akibat tembakan logam bersalut getah dan berpuluh-puluh mengalami sesak nafas selepas mereka terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh tentera Israel berhampiran Nablus dan Qalqilya.

Saksi Palestin berkata, pertempuran tercetus antara berpuluh-puluh penunjuk perasaan dan tentera Israel selepas Palestin menganjurkan dua protes mingguan terhadap peluasan penempatan Israel baru-baru ini dan rampasan tanah di Tebing Barat, lapor Xinhua.

Mereka berkata, pertempuran sengit di perkampungan Beit Dajan di timur Nablus, dan rakyat Palestin melemparkan batu ke arah askar, yang melepaskan tembakan getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Sementara itu, enam lagi rakyat Palestin cedera akibat tembakan logam bersalut getah yang dilepaskan oleh tentera Israel semasa bantahan di perkampungan Kafr Qaddum di timur Qalqilya.

Tiada maklum balas segera daripada tentera Israel berhampiran dua bandar di Tebing Barat.

Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan berkata, rakyat Palestin mempunyai hak untuk mempertahankan diri, mendapatkan hak sah mereka untuk menentukan masa depan mereka sendiri dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka di sempadan 1967.

Israel menceroboh Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang dituntut oleh Palestin, sejak perang Asia Barat 1967. 

Sumber: BH