2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

BANGLADESH TERUSKAN PENEMPATAN SEMULA PELARIAN ROHINGYA

COX’S BAZAR: Bangladesh meneruskan usaha memindahkan pelarian warga Rohingya ke sebuah pulau terpencil dan tanah rendah, maklum pihak berkuasa hari ini, meskipun menerima kritikan daripada kumpulan bantuan serta ada dakwaan mereka dipaksa berpindah.

Hampir 20,000 minoriti yang tiada warganegara itu dihantar ke Pulau Bhashan Char selepas menyelamatkan diri dari Myanmar pada 2017 kerana tindakan kejam tentera.

Bangladesh mahu menempatkan semula 100,000 daripada sekitar sejuta pelarian Rohingya ke pulau berkenaan bagi memindahkan mereka dari kem perlindungan yang padat terletak di tanah besar.

Bagaimanapun, ratusan yang dihantar ke sana ditangkap di bandar yang terletak di pesisiran pantai selepas melarikan diri dari pulau berkenaan.

Puluhan lagi mula meninggal dunia pada Ogos selepas sebuah bot nelayan yang membawa pelarian karam.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Negara, Moozzem Hossain, berkata lagi 2,000 warga Rohingya akan dipindahkan pada minggu ini selepas lebih enam bulan kumpulan terakhir dihantar ke sana.

“Kapal tentera laut akan hantar mereka ke pulau berkenaan pada Khamis,” katanya.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menandatangani perjanjian dengan pihak berkuasa Bangladesh untuk menyediakan bantuan dan perlindungan kepada pelarian di pulau berkenaan bulan lalu.

Moozzem berkata, pemindahan itu secara keseluruhannya adalah sukarela tetapi ada beberapa pelarian mendakwa mereka dipaksa untuk berpindah ke pulau itu.

“Kami tidak mahu pergi ke Bhashan Char,” kata wanita Rohingya kepada AFP yang enggan namanya disiarkan.

Wanita itu mendakwa pemimpin komuniti Rohingya di kem berkenaan memasukkan namanya dalam senarai pelarian yang mahu ditempatkan semula tanpa kebenarannya.

“Jika saya ke Bhashan Char, saya tidak lagi boleh kembali semula ke Myanmar. Saya tidak mahu pergi,” katanya.

Seorang pemimpin komuniti Rohingya yang juga enggan namanya disiarkan pula mendakwa, pihak berkuasa Bangladesh memberitahunya dan rakan-rakan lain untuk mengemukakan senarai yang mengandungi sekurang-kurangnya lima keluarga untuk dipindahkan.

Sumber: Berita Harian