2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

BANGLADESH MEMBELANJAKAN RM1.6 BILION BAGI MEMBANGUNKAN TEMPAT PERLINDUNGAN DAN TEBING

Chittagong: Pihak berkuasa Bangladesh sudah memulakan penghantaran 1,640 pelarian Rohingya ke pulau yang disediakan khusus untuk mereka, dalam fasa pertama membabitkan lebih 100,000 orang.

Setakat ini, Dhaka mahu memindahkan 100,000 pelarian ke Bhashan Char, sebuah pulau seluas 52 kilometer persegi di Teluk Benggala, yang didakwa sering dilanda banjir dan berada di kawasan laluan taufan.

Kumpulan hak asasi mendakwa kebanyakan pelarian dalam kumpulan fasa pertama itu dipaksa berpindah ke sana.

Bagaimanapun, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen berkata, dakwaan kumpulan itu adalah ‘satu penipuan’ kerana kemudahan di pulau itu adalah jauh lebih baik berbanding di kem pelarian.

“Hakikatnya, Myanmar tidak akan menerima mereka kembali dan Bangladesh tidak mampu menampung kemasukan mereka,” katanya.

Bangladesh membelanjakan AS$400 juta (RM1.6 bilion) bagi membangunkan tempat perlindungan dan tebing banjir berukuran tiga meter di sepanjang kem itu.

Pelarian yang dibawa ke sana diberikan bilik dan peralatan rumah bagi membolehkan mereka memasak serta memulakan kehidupan baharu.

Pihak berkuasa Bangladesh berkata, penempatan semula akan mengurangkan kesesakan di kem pelarian yang sering dilanda tanah runtuh selain menghapuskan keganasan kumpulan ekstremis dan kongsi gelap berkaitan kes dadah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kemudahan kesihatan dan pendidikan disediakan di pulau berkenaan atau pelarian dibenarkan untuk meninggalkan kawasan itu mengikut kemahuan mereka.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh berkata, pihaknya dihalang daripada menilai tahap keselamatan, keupayaan dan kemampanan pulau itu untuk dijadikan tempat tinggal.

Keselamatan di pulau itu diperketatkan dan balai polis dengan lebih 300 anggota ditempatkan di kawasan itu.

Sumber: Harian Metro