2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
bc798f61-13cf-4b57-a4bf-4d9ca125c251.jpg
Info Semasa

‘Bala’ tindas Palestin, kerajaan PM Israel semakin goyah

BAITULMUQADDIS: Parti Arab Israel iaitu Parti Senarai Arab Bersatu (UAL) atau juga dikenali sebagai Raam menggantung keanggotaannya dalam pentadbiran pakatan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Naftali Bennett.

Langkah itu dibuat sebagai protes menentang tindakan dan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Israel terhadap rakyat Palestin di Masjid al-Aqsa sejak beberapa hari lalu.

Sejak Jumaat lalu, pasukan keselamatan Zionis menyerbu al-Aqsa dan bertempur dengan rakyat Palestin, selain melepaskan peluru getah ke arah mereka, menyebabkan sekurang-kurangnya 170 cedera.

Lapor PressTV, UAL menerusi kenyataan memaklumkan, parti itu kini ‘membekukan’ sokongan mereka terhadap Bennett dan sebarang aktiviti Parlimen.

UAL yang mempunyai empat kerusi dalam kerajaan pakatan Bennett memberi amaran kepada Tel Aviv bahawa parti itu akan menarik diri sekiranya Zionis terus melakukan kekerasan terhadap penduduk Palestin.

Keadaan itu secara tidak langsung menggoyahkan kedudukan Bennett sebagai perdana menteri, selain kerajaan pakatannya juga tidak stabil.

Dengan hanya 60 dari 120 kerusi dalam Knesset (Parlimen Israel), pakatan Bennett dijangka boleh lumpuh pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, pakar politik berpandangan Bennett akan cuba ‘menenangkan situasi’ dalam kadar segera kerana beliau akan bertungkus-lumus memastikan kerajaannya bertahan ‘selama mungkin’ dalam Knesset.

Pada Julai tahun lalu, UAL menekankan Masjid al-Aqsa adalah hak milik mutlak umat Islam dan pihak lain tiada hak terhadapnya.

Tindakan Zionis di al-Aqsa baru-baru ini mendapat kritikan pelbagai kerajaan di seluruh dunia.

Sejak beberapa hari lalu, sejumlah negara Islam termasuk Turki, Algeria, Iraq dan Jordan lantang menyuarakan bantahan terhadap tindakan Zionis yang menyerbu al-Aqsa.

Selain itu, pertempuran antara rakyat Palestin dengan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat juga ‘semakin rancak’ sejak beberapa hari lalu.

DESAKAN HENTI PROVOKASI

Dalam pada itu, Raja Jordan, Raja Abdullah II mendesak Israel supaya menghentikan semua provokasi yang boleh mencetuskan rusuhan ganas, sekali gus memburukkan keadaan semasa.

Selain itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menerusi satu kenyataan memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan segera semua kekerasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin akan Zionis akan ‘menerima akibatnya’.

Beliau menegaskan, Masjid al-Aqsa merupakan milik rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.

“Rakyat Palestin mempunyai hak untuk memasuki m asjid itu dan beribadat di dalamnya.

“Kami tidak akan tunduk dengan keganasan dan ketakutan yang dicetuskan oleh Zionis,” katanya.

Tidak ketinggalan, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang turut mengutuk tindakan Israel.

Menerusi perbualan telefon dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Recep Tayyip memaklumkan beliau akan menghubungi semua pihak berkaitan bagi ‘mengakhiri tindakan bacul Zionis’.

“Ketika bercakap dengan Mahmoud, saya berulang kali menegaskan Turki tidak sesekali bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Zionis terhadap penduduk Palestin di al-Aqsa.

“Turki akan sentiasa berdiri bersama Palestin,” tegasnya.

Recep Tayyip turut memberitahu, beliau menghubungi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengenai situasi semasa di Palestin.

Pada awal bulan ini, pemimpin berusia 68 tahun itu meminta pihak berkuasa Israel supaya ‘lebih sensitif’ sebagai menghormati bulan Ramadan.

Sumber: Utusan