2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ARMENIA MULA SERAH WILAYAH PERTIKAIAN

STEPANAKERT (AZERBAIJAN): Armenia dijadual mula menyerahkan wilayah yang menjadi pertikaian kepada Azerbaijan, semalam.

Ia adalah sebahagian daripada perjanjian damai yang mengakhiri pertempuran sengit selama enam minggu berhubung kemelut Nagorno-Karabakh.

Penduduk di daerah Kalbajar, Azerbaijan, yang dikawal puak pemisah Armenia selama berdekad-dekad, mulai meninggalkan wilayah itu secara beramai-ramai.

Sumber juga mendapati penduduk terbabit memuatkan perabot dan peralatan dapur ke dalam kenderaan sebelum berangkat ke Armenia.

Malah, sebilangan penduduk daripada etnik Armenia memaklumkan, mereka turut menggali semula kubur kerana bimbang ia akan diganggu pihak Azerbaijan.

Kepulan asap tebal pula dilihat menyelubungi lembah berdekatan kampung Charektar selepas penduduk membakar kediaman mereka.

Mereka memilih untuk meninggalkan kawasan itu dalam keadaan musnah dengan kediaman yang tidak dapat dihuni oleh orang Azerbaijan.

Dalam pada itu, pasukan pengaman Russia sudahpun ditempatkan di Nagorno-Karabakh, minggu ini.

Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember depan.

Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.

Sumber: Berita Harian