2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

ADUAN PENDERAAN SEKSUAL DI PENJARA SYRIA

BERLIN – Tujuh warga Syria yang didakwa menderita atau menyaksikan pemerkosaan dan penderaan seksual di pusat tahanan di bawah pemerintahan Presiden Bashar al-Assad, mengemukakan aduan jenayah kepada pendakwa raya di Jerman, menurut sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menyokong mereka.

Mereka terdiri daripada empat wanita dan tiga lelaki yang ditahan di pelbagai pusat tahanan di Damsyik, Aleppo dan Hama antara April 2011 dan Ogos 2013.

Pusat Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia Eropah (ECCHR), sebuah kumpulan undang-undang yang berpusat di Berlin berkata, mereka adalah mangsa atau saksi penyiksaan dan keganasan seksual, termasuk rogol, kejutan elektrik pada alat kelamin dan pengguguran paksa.

Plaintif menamakan sembilan pegawai kanan kerajaan Syria dan pegawai perisik angkatan udara termasuk Jamil Hassan, bekas rakan rapat Assad dan ketua perkhidmatan perisik tentera udara hingga 2019 yang kini menjadi buruan untuk waran tangkap antarabangsa dari Jerman dan Perancis kerana disyaki melakukan jenayah kemanusiaan.

“Saya mahu masyarakat antarabangsa dan pihak berkuasa kehakiman mengetahui apa yang kami lalui hanya kerana kami wanita,” menurut seorang mangsa.

Pada April lalu, kes pengadilan pertama di seluruh dunia mengenai penyeksaan yang ditaja oleh kerajaan Assad dibuka di Jerman.

Kedua-dua defendan dalam kes itu diadili berdasarkan prinsip bidang kuasa universal, yang memungkinkan negara asing mengadili jenayah perang dan kejahatan terhadap kemanusiaan.

Sementara itu, Pasukan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpusat di United Kingdom (UK) menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 100,000 daripada setengah juta orang yang dipenjarakan sejak tahun 2011, mati akibat penyiksaan atau akibat keadaan yang mengerikan di dalam penjara kerajaan. 

Sumber: Berita Harian