2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

AKSES MASIH DISEKAT DI KASHMIR, RAKYAT PERLUKAN RAWATAN SEGERA

SRINAGAR 9 Okt. – Dua bulan selepas India menguatkuasakan perintah berkurung di Kashmir, doktor dan pesakit di wilayah itu mendakwa banyak nyawa penduduk yang memerlukan rawatan dan perkhidmatan perubatan segera direkodkan maut.

Seorang doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Sadaat berkata, sekurang-kurang-nya 12 pesakit dilaporkan mati sejak kerajaan mengenakan sekatan akses komunikasi dan internet kerana mereka tidak dapat menghubungi ambulans dengan segera.

“Kebanyakan daripada mang­sa yang mati adalah dise­babkan serangan jantung apabila mereka gagal mendapatkan bantuan kecemasan”.

Kebanyakan doktor yang diwawancara enggan nama penuh mereka didedahkan bimbang berdepan tindakan selain mereka turut diganggu dan ditakutkan pasukan keselamatan.

Bagaimanapun pihak ber­kuasa menafikan dakwaan itu dan mendakwa hospital beroperasi seperti biasa tanpa sekatan manakala petugas kesihatan dan pesakit kecemasan diberikan kebenaran melalui pusat pemeriksaan.

Bagaimanapun beberapa pegawai kesihatan mendedahkan, ratusan pesakit dalam situasi kecemasan dibiarkan tanpa ambulans dan mungkin mati akibat masalah komunikasi.

“Penduduk mati kerana me­reka tiada akses kepada telefon atau tidak dapat meng­hubungi ambulans,” kata Ra­ma­ni Atku­ri.

Ramani yang turut menandatangi petisyen mendesak ke­rajaan menarik balik sekatan itu berkata, kumpulan Whats­App, Save Heart Initiative yang pernah diangkat kerajaan kerana menyelesaikan lebih 13,000 kes membabitkan penyakit jantung juga tidak dapat diakses.

“Selain ratusan doktor India, kumpulan WhatsApp ini turut disertai kumpulan doktor pakar dari Amerika Syarikat. Kami berkongsi maklumat penting, bertukar nasihat kepakaran antara satu sama lain dan juga mengenai ujian elektrokardiogram (ECG),” tambahnya.

Sementara itu jumlah pembedahan di Hospital Sri Maharaja Hari Singh di Srinagar dilaporkan menurun sehingga 50 peratus dalam tempoh dua bulan ini ekoran halangan komunikasi selain kekurangan ubat.

Pengamal perubatan juga dilaporkan diberi amaran supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada media.

Sumber: Utusan Malaysia