2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

‘900,000 HILANG TEMPAT TINGGAL DI SYRIA SEJAK DISEMBER’ – PBB

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 19 Feb – Serangan rejim yang disokong Russia di barat laut Syria, menyebabkan 900,000 penduduk hilang tempat tinggal sejak awal Disember lalu, manakala kebanyakan bayi dalam keadaan nazak akibat kesejukan kerana kem bantuan sudah penuh, kata PBB, kelmarin.

Jumlah itu adalah 100,000 lebih tinggi daripada yang direkodkan PBB sebelum ini.

“Krisis di barat laut Syria mencapai tahap baharu yang sangat menggerunkan,” kata Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock.

Jelasnya, kebanyakan yang hilang tempat tinggal adalah wanita dan kanak-kanak yang ‘trauma dan terpaksa tidur dalam keadaan sejuk kerana kem sudah penuh. Ibu-ibu terpaksa membakar plastik untuk memastikan anak mereka kekal hangat. Bayi dan kanak-kanak kecil dalam keadaan nazak kerana kesejukan.’

Kira-kira tiga juta penduduk menetap di Idlib serta kejiranannya di wilayah Aleppo, dengan separuh daripada jumlah itu berpindah ke kawasan lain di negara itu.

Serangan yang bermula lewat tahun lalu menyebabkan jumlah terbesar individu yang terpaksa berpindah sejak konflik itu bermula pada 2011. Peperangan itu mengorbankan lebih 380,000 penduduk sejak tercetus hampir sembilan tahun lalu, susulan penindasan terhadap demonstrasi yang menggesa perubahan rejim.

Lowcock menegaskan bahawa keganasan di kawasan barat laut Syria itu dilakukan secara sembarangan.

“Fasiliti kesihatan, sekolah, kawasan penempatan, masjid dan pasar diserang. Persekolahan digantung, banyak fasiliti kesihatan ditutup. Risiko penyebaran wabak penyakit di tahap serius. Infrastruktur asas pula rosak dan runtuh.

“Kami kini menerima laporan bahawa penempatan untuk penduduk yang hilang tempat tinggal turut diserang, menyebabkan kematian, kecederaan dan mereka terpaksa berpindah lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, operasi bantuan besar-besaran yang dihantar dari sempadan Turki turut terkesan.

“Peralatan dan fasiliti digunakan rosak. Petugas kemanusiaan juga terpaksa berpindah dan terbunuh,” katanya.

Ahad lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa Russia menamatkan sokongannya kepada kekejaman rejim Syria di Idlib, jelas Rumah Putih.

Sumber: Berita Harian