2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

190 SEKOLAH DI KASHMIR DIBUKA SEMULA, HANYA SEBILANGAN KECIL PELAJAR HADIR

 

SRINAGAR, 20 Ogos – Sebanyak 190 sekolah rendah di sekitar Kashmir sudah dibuka, iaitu dua minggu selepas Kerajaan India menarik balik status autonomi yang diberikan kepada wilayah berkenaan.

 

Bagaimanapun, wartawan AFP yang mengunjungi beberapa sekolah mendapati hanya sebilangan kecil pelajar yang hadir, susulan pertempuran yang berlaku di Srinagar hujung minggu lalu.

 

Pada 5 Ogos lalu, India memutuskan untuk membatalkan status khas mengikut Perlembagaan yang diberikan kepada Kashmir, iaitu wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam.

 

Namun, beberapa jam sebelum keputusan itu diumumkan, India bertindak mengehadkan pergerakan penduduk dan menyekat perkhidmatan telefon serta internet, selain mengerah ribuan tentera mengawal Srinagar.

 

Menurut sumber keselamatan, kira-kira 120,000 anggota tentera dikerah ke Kashmir, selain 500,000 tentera yang sudah berada di bahagian utara wilayah di pergunungan Himalaya, yang memisahkan India dan Pakistan sejak 1947.

 

“Sekurang-kurangnya 4,000 rakyat sudah ditahan di bawah Akta Keselamatan Awam (PSA) yang membenarkan hukuman penjara sehingga dua tahun tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan,” kata sumber kerajaan.

 

Dalam pada itu, pihak berkuasa enggan memberi sebarang komen mengenai jumlah mereka yang sudah ditahan, kebanyakannya ahli politik tempatan, aktivis, pemimpin perniagaan dan peguam.

 

Kira-kira 20 peratus talian telefon sudah kembali beroperasi semalam, tetapi perkhidmatan telefon bimbit dan internet masih disekat.

 

 

Sumber: Berita Harian