2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

Kenyataan Media 23 April 2018

Kenyataan Media Serantau Muslim
23 April 2018 | Susulan Etnik Rohingya Kembali Ke Tanah Air Sendiri

Serantau Muslim melihat pada tahun 1978 merupakan tahun paling kejam yang dirasai oleh etnik yang paling teraniaya di dunia rentetan tragedi ‘pembersihan etnik’. Namun kini, diharap ada sinar kehidupan yang baru buat etnik Rohingya di Myanmar ekoran laporan media baru-baru ini. Persoalannya, adakah kerajaan Myanmar akan melayan etnik Rohingya ini secara bermaruah setelah kembalinya mereka ke Myanmar?

Baru-baru ini laporan media menyatakan lima keluarga pulang ke kem penempatan semula Taungpyoletwei di Rakhine. Laporan turut dibuktikan dengan gambar seorang lelaki, dua wanita dan kanak-kanak perempuan serta kanak-kanak lelaki sedang menerima kad pengenalan selain mendapatkan saringan kesihatan.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa melakukan proses menentukan sama ada mereka pernah tinggal di situ selain memberikan Kad Pengesahan Kebangsaan (dokumen yang tidak mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya sepenuhnya). Namun ia ditolak oleh pemimpin Rohingya kerana inginkan hak penuh untuk golongan itu.

Serantau Muslim masih berasa gusar dengan keadaan yang bakal berlaku terhadap etnik Rohingya. Sebelum ini Menteri Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula, Win Myat Aye membuat lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh, dengan mengharapkan kunjungan itu dapat mempercepatkan kepulangan ratusan ribu minoriti dari negara jiran itu.

Namun, Serantau Muslim peka dengan amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi lain telah menghalang penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar kerana sangsi dengan Myanmar yang masih belum menyelesaikan isu diskriminasi serta penindasan golongan minoriti itu. Sementara Bangladesh berharap isu penghantaran pulang etnik Rohingya ini perlu disegerakan agar bebanan yang dipikul negara itu dapat kurangkan.

Serantau Muslim melahirkan rasa simpati dengan minoriti Islam itu kerana seolah-olah tiada jalan yang jelas buat mereka pilih. Serantau Muslim juga bimbang dengan keadaan etnik tersebut kerana dengan tiada dokumen yang memperakui kerakyataan sepenuhnya terhadap mereka. Semestinya, hak sama rata dan perlindungan keselamatan tidak terjamin.

Serantau Muslim berharap PBB dapat memainkan peranan lebih utuh agar minoriti Islam di Myanmar ini dapat hak kerakyatan mereka sepenunhnya seterusnya dapat menikmati keperluan asas secukupnya di negara sendiri dan tiada lagi isu diskriminasi dan prejudis antara kaum dan agama.

Serantau Muslim juga berharap kenyataan Pentadbir Muagdaw, Ye Htut sebelum ini yang menyatakan tiada permusuhan antara masyarakat yang tinggal, banyak rumah yang masih tinggal dan minoriti Islam Rohingya tidak takut berada di situ adalah benar dan ikhlas.

Akhir kata, Serantau Muslim masih mengalukan-alukan semua orang dapat membantu etnik Rohingya melalui www.untukmurohingya.com dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka walau di mana mereka berada.

“Persaudaraan Rentas Sempadan”

Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor
Pengurus Besar
Pertubuhan Kebajikan SERANTAU MUSLIM