2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
fb24ed52-3991-4225-a0c6-69682486426c.jpg
Info Semasa

11,137 mangsa banjir di Terengganu

Kuala Terengganu: Banjir gelombang kelima yang memasuki hari keempat di Terengganu terus merekodkan pertambahan mangsa apabila seramai 11,137 orang terpaksa dipindahkan, setakat 8 pagi.

Ia menyaksikan 157 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 3,177 keluarga.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan mangsa berbanding hanya 8,176 orang daripada 2,335 keluarga di 134 PPS malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Marang tidak menunjukkan sebarang pertambahan mangsa, manakala tujuh daerah lain merekodkan peningkatan jumlah mereka yang terjejas.

Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 22 PPS diaktifkan bagi menempatkan 827 keluarga membabitkan 3,026 mangsa.

Ia diikuti Hulu Terengganu yang merekodkan 2,946 orang daripada 950 keluarga dipindahkan ke 27 PPS.

Mangsa banjir turut bertambah di Besut yang menyaksikan seramai 2,187 mangsa daripada 516 keluarga dipindahkan 44 PPS.

Di Setiu, 30 PPS dibuka bagi menempatkan 391 keluarga membabitkan 1,277 mangsa.

Seramai 1,236 mangsa yang terjejas di Dungun turut dipindahkan ke 23 PPS, manakala di Kuala Nerus, jumlah mangsa bertambah kepada 407 mangsa daripada 116 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Di Kuala Terengganu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 53 mangsa, sementara di Marang, jumlah mangsa kekal seramai lima orang daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Sumber: Harian Metro