2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

10 CEDERA DALAM LETUPAN KILANG GAS DI LUBNAN

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 10 cedera dalam insiden letupan di kilang penyimpanan balang gas, dekat sempadan Lubnan dan Syria, dua hari lalu.

Persatuan Palang Merah Lubnan berkata, pihaknya menghantar beberapa unit pasukan penyelamat ke perkampungan Al-Qasr, di timur wilayah Hermel, iaitu lokasi letupan bagi membawa mangsa yang cedera.

“Kita menghantar tiga pasukan. Seramai 10 orang setakat ini mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap tentera Lubnan pula memaklumkan, letupan dipercayai berpunca daripada balang gas yang disimpan di premis berkenaan.

Wilayah Hermel terkenal dengan kegiatan penyeludupan rentas sempadan ke Syria yang meliputi perdagangan pelbagai barangan.

Penyeludupan berlaku dari kedua-dua negara, namun lazimnya ia lebih kepada kemasukan barangan ke Syria sejak perang meletus pada 2011 dan apabila negara berkenaan dibelenggu krisis ekonomi serta sekatan antarabangsa.

Sekutu utama Kerajaan Syria, iaitu gerakan syiah Hezbollah sering dituduh oleh media Lubnan dan beberapa parti politik sebagai dalang kegiatan penyeludupan ke Syria.

Sumber: Berita Harian