2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Kenyataan Media

ASEAN KOMITED RAPATKAN JURANG PEMBANGUNAN 4 NEGARA

 

BANGKOK 10 Sept. – Anggota ASEAN mengesahkan semula komitmen masing-masing untuk merapatkan jurang pembangunan dalam blok ekonomi ini bagi usaha mencapai kemakmuran bersama di samping mewujudkan masyarakat ekonomi yang inklusif.

 

Dalam kenyataan bersama sempena Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-51 di sini, para menteri menyambut baik bantuan berterusan dari anggota ASEAN, rakan kerjasama dan pihak luar kepada Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam untuk meningkatkan kapasiti mereka dalam memenuhi komitmen serantau dan menggalakkan pembangunan inklusif.

 

Para menteri turut memuji kemajuan ekonomi yang dicatatkan keempat-empat anggota itu sejak 20 tahun lepas, seperti dinyatakan dalam laporan Penilaian Kemajuan bagi Mengurangkan Jurang Pembangunan di ASEAN oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia.

 

“Peningkatan mampan tahap pendapatan telah menyumbang kepada kemajuan besar yang dicapai keempat-empat anggota ini dalam bidang pembangunan sosial, khususnya dari segi pengurangan kemiskinan,” katanya.

 

Menurut kenyataan itu, para menteri berkata pertumbuhan perdagangan dan pelaburan Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam yang memberangsangkan dengan perdagangan barangan keempat-empat mereka terus berada dalam aliran meningkat, bukan hanya dari segi nilai malah dalam peratusan jumlah perdagangan ASEAN.

 

Data awal bagi 2018 menunjukkan nilai perdagangan barangan Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam berjumlah US$541.5 bilion, bersamaan 19.3 peratus daripada nilai keseluruhan perdagangan barangan ASEAN.

 

Pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam keempat-empat negara itu meningkat 4.2 peratus tahun lepas kepada US$23.5 bilion daripada US$22.5 bilion pada 2017.

 

Bagaimanapun sumbangan Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam kepada jumlah FDI ASEAN sedikit menurun iaitu 15.2 peratus pada 2018 daripada 15.3 peratus pada 2017.

 

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), para menteri mengesahkan ia menjadi keutamaan tertinggi ASEAN dan komited untuk memuktamadkan rundingan berkenaan tahun ini, sejajar dengan mandat para pemimpin.

 

“Menteri turut menekankan pentingnya mencapai sasaran itu di tengah-tengah ketidaktentuan global semasa dan menyatakan keyakinan apabila ia dimuktamadkan, RCEP akan menyumbang secara ketara kepada sistem perdagangan antarabangsa yang terbuka, inklusif serta berasaskan peraturan selain pembangunan dan pengembangan rantaian nilai dalam rantau ini,” katanya.

 

Mengenai perdagangan barangan, para menteri mengalu-alukan kemajuan kukuh yang dicatatkan anggota ASEAN berhubung pemansuhan tarif di bawah Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Barangan.

 

Setakat ini, 99.3 peratus duti import telah dihapuskan di ASEAN-6 (Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand) dan 97.7 peratus di Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

 

“Secara terkumpul, ASEAN pada keseluruhannya telah menghapuskan 98.6 peratus duti import tahun ini,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, kenyataan bersama itu berkata penyempurnaan Protokol ASEAN tentang Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Yang Dipertingkatkan akan menyediakan anggota ASEAN dengan mekanisme penyelesaian pertikaian yang boleh dipercayai dan berkesan.

 

“Pemuktamadan protokol itu, yang akan menggantikan Protokol ASEAN tentang Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Yang Dipertingkatkan 2004, merupakan pencapaian penting dalam usaha ASEAN ke arah masyarakat berpandukan peraturan,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia